Selasa, 10 Julai 2012

Khalid tempelak Adun MCA tanya soalan ‘kedai kopi’

Oleh Norutul Ilham


SHAH ALAM : Sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baru, Wong Kun Mun yang berlagak ‘hero’ dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditempelak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang ketika itu menjawab berkenaan Kumpulan Semesta Sdn Bhd menyifatkan soalan Kun Mun itu seperti pertanyaan di kedai kopi kerana mempertikaikan akibat kecurian pasir menyebabkan jambatan dan jalan raya runtuh.

“Logik apa yang digunakan kecurian pasir dengan jambatan runtuh? Saya tanya apa sebabkan jambatan runtuh, adakah disebabkan kecurian pasir?

“Saya sudah dapatkan kepastian daripada Institut Latihan & Pembangunan Infrastruktur Ikram yang mengakui kecurian pasir tidak beri kesan,” kata Khalid dalam sidang itu hari ini.

Adun Ijok itu berkata, tidak munasabah seorang Adun bertanyakan soalan seumpama di ‘kedai kopi’ yang tarafnya seperti budak tadika.

“Menggunakan logik, oleh kerana pasir dicuri, jalan runtuh, kita panggil Ikram…Kalau nak ajar sudah terlalu tua untuk diajar, tapi saya tanya adakah fakta itu betul.

“Ini kenyataan saudara memalukan Pegawai Daerah, Jurutera Daerah yang turun padang. Kenyataan saudara itu seperti soalan di kedai kopi, tarafnya tadika,” sinis beliau.

Sebelum itu, Khalid dalam perbahasannya memberitahu, sejak Selangor mengambil alih empat tahun negeri itu, bayaran hasil royalti daripada pasir tiga kali ganda berbanding kerajaan BN.

“Hasil daripada pendapatan royalti yang dibayar mencatatkan jumlah besar dalam masa enam bulan, dan kita kutip RM5 juta, tapi berbanding 2008, satu tahun tidak lebih RM3 juta. Tapi (sekarang) royalti untuk negeri bertambah.

“Untuk tentukan ketelusan, kita telah melantik Pengerusi Kumpulan Semesta daripada badan independen supaya dapat tentukan pelaksanaan Kumpulan Semesta buat kerja dengan telus dan tidak ada penyelewengan berlaku,” jelas Khalid.

Tiada ulasan: