Khamis, 26 Julai 2012

KGT: Khalid sokong Kelantan saman Utusan

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Akhbar lidah rasmi Umno BN, Utusan yang dilihat semakin ketandusan isu apabila cuba menyerang PAS dalam isu Kelantan Golden Trade (KGT) walaupun telah dibuktikan tidak wujud skandal penyelewengan oleh Polis Kelantan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, isu yang dikentengahkan oleh akhbar terbabit tidak ada asas sekali gus memperlihatkan Umno BN tidak ada isu untuk menyerang PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, Utusan merupakan suara Umno BN dan sudah tentu isu yang dilaporkan itu adalah hujah Umno BN.

"Isu yang diketengahkan itu tidak ada asas, menunjukkan Umno BN tidak isu dan tidak tahu macam mana nak 'pukul' PAS," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak laporan Utusan melambangkan hakikat sebenar Umno BN yang ketepikan soal kebenaran dan sanggup mencemarkan orang lain.

"Utusan buat kerja-kerja ini, memang kerja BN. Kita terima sahajalah walaupun tidak ada isu," katanya berseloroh.

Dalam hal ini, beliau menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan mahu menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan tersebut.

"Kerajaan Kelantan patut saman Utusan mereka wajar disaman sebab bukan sekali buat fitnah sudah banyak kali, bagus juga disaman," tegasnya.

Khalid pernah menyaman Utusan berhubung tulisan berbaur fitnah terhadapnya yang tersiar dalam akhbar berkenaan dua tahun lepas.

Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pengarang dan penerbit Utusan Malaysia supaya membayar RM60,000 kepada beliau.

Terdahulu, Polis Kelantan telah membersihkan nama Kerajaan Kelantan apabila mengesahkan tidak ada unsur-unsur jenayah komersil yang dikaitkan dalam isu penyelewengan KGT selepas menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang dibuat oleh Ngo dan seorang penulis blog.

Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar terbabit, walaupun kes itu ditutup.

Tiada ulasan: