Khamis, 26 Julai 2012

Keupayaan SYABAS dipertikai



Selain masalah kesahihan statistik, keupayaan SYABAS dalam pengurusan juga dipertikai.  Di samping kerajaan negeri Selangor, Malaysia Water Forum turut mempersoalkan keupayaan SYABAS.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Abdul Khalid (gambar kiri, tengah) berkata, SYABAS gagal mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW) sehingga 20% sebagaimana yang ditetapkan dan perjanjian, malah mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air yang dianggarkan sebanyak RM2.8 billion.  Lebih-lebih lagi, SYABAS tidak berkeupayaan melabur dalam pembinaan infrastruktur untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam pembekalan air.

Malaysia Water Forum baru-baru ini dengan tegasnya meminta agar satu audit bebas dijalankan oleh SPAN ke atas SYABAS untuk mengenalpasti sama ada SYABAS berupaya melaksanakan tugasnya.

Bagaimanapun, SYABAS menuding jari terhadap kerajaan negeri Selangor untuk ketidakmampuannya mengurangkan NRW sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian.  SYABAS menuduh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor menghalang kenaikan harga air selepas memerintah pada tahun 2008, dan membekukan CAPEX-nya, sehingga syarikatnya gagal mengurangkan NRW, lantas menjurus kepada krisis air yang semakin parah.

Air Tidak Terhasil atau NRW merujuk kepada air bersih yang dibazirkan kerana masalah kebocoran paip dan sebagainya, tugas pengurangan NRW adalah mengenalpasti kawasan di mana berlaku kebocoran paip air dan menggantikan paip di kawasan tersebut.  Menurut statistik yang dikemukakan SYABAS kepada EXCO kerajaan Selangor, NRW di Selangor adalah sebanyak 33%.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak memandang serius masalah keberkesanan bekalan air yang disebabkan NRW yang tinggi, tetapi hanya melihat masalah ini dari sudut kos.  Menurut KeTTHA, kos pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 lebih rendah daripada kos mengurangkan NRW.  Sejumlah RM8.9 bilion diperlukan untuk penyaluran air dari Pahang dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, dengan jumlah penghasilan air mencecah 1.13 bilion liter sehari.  Sebaliknya, mengurangkan NRW dari 32.3% ke 20.8% memerlukan RM7.2 bilion, dan air yang dihasilkan hanya 500 juta liter.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) Piarapakaran S mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor mengambil kedua-dua langkah, iaitu meluluskan Loji Rawatan Air Langat 2, dan kemudian berusaha sedaya-upaya untuk mengurangkan NRW.

Menurut Piarapakaran S, usaha untuk mengurangkan NRW, dari kerja pemeriksaan terhadap paip di setiap kawasan hinggalah menyiapkan laporannya, ia memerlukan tempoh enam bulan hingga setahun.  Setelah statistik yang lengkap diperolehi, barulah masalah boleh diselesaikan.

Piarapakaran S (gambar kiri) berkata, seandainya Loji Rawatan Air Langat 2 mula beroperasi pada tahun 2014, maka kerajaan Selangor tidak akan tertekan dengan kekurangan bekalan air kelak, lantas boleh menumpukan perhatiannya untuk mengurangkan NRW.  Keadaan yang ideal ialah mengurangkan NRW sehingga 10%, pada masa yang sama kerajaan Selangor telah memperolehi maklumat dan statistik yang lengkap.  Dengan ini, penggantian paip yang bocor di kawasan berkenaan akan mendatangkan kesan dengan segera.

Namun, Piarapakaran S juga menganggap pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 mungkin menelan kos yang tinggi.  Oleh itu, beliau mencadangkan agar mendapatkan maklumat daripada pihak ketiga, misalnya syarikat asing, untuk mengetahui berapa kos pembinaan sesebuah Loji Rawatan Air.  Beliau juga menganggap kerajaan seharusnya memastikan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 ini dibida dengan tender terbuka - kalau tidak, kosnya akan dipindahkan kepada pengguna kelak seandainya terlalu tinggi.

Di samping itu, Piarapakaran S juga berkata, seandainya penstrukturan semula bekalan air Selangor gagal disempurnakan, maka tarif air akan meningkat.  Beliau menganggap, proses penstrukturan semula bekalan air kini menjadi tegang kerana kerajaan negeri "meminta sesuatu yang salah".  Beliau menganggap kerajaan negeri tidak perlu mengambil alih empat buah syarikat bekalan air, tetapi memadai dengan hanya menjadi pemegang saham terbesar untuk syarikat tersebut, sebagaimana yang dilakukan kerajaan Johor.  Kerajaan negeri tidak perlu mengambil alih kesemua syarikat bekalan air dan seterusnya memindahkannya kepada PAAB.

Piarapakaran S berkata, kerajaan negeri tidak perlu membeli kesemua aset bekalan air, dan menyerahkannya kepada PAAB, sebaliknya, menyerahkan aset bekalan air yang berhutang kepada PAAB.  Ini kerana kewujudan PAAB adalah untuk membolehkan kerajaan negeri membekalkan air yang terbaik kepada pengguna tanpa sebarang kebimbangan.  Sebaik aset air yang berhutang ini menjelaskan hutangnya, maka PAAB akan menyerahkan aset air kepada kerajaan negeri, kerana PAAB tidak boleh memiliki sebarang aset.

Piarapakaran S menganggap kerajaan negeri Selangor sepatutnya berunding dengan kerajaan persekutuan Barisan Nasional, memaksa syarikat pembekalan air untuk melepaskan konsesinya, dan menstruktur semula sistem bekalan air.  Maka dengan ini, setiap syarikat bekalan air perlu memperbarui permitnya setiap tiga tahun - mereka yang tidak mencapai KPI tidak dibenarkan memperbarui permit.  "Ia menjadi permainan yang berbeza sebaik sahaja masuk ke dalam sistem permit."

Beliau berkata, tiada konsesi di bawah Water Services Industry Act, malah tarif air dikira mengikut perbelanjaan dalam bajet mengikut perancangan 30 tahun syarikat berkenaan.  Maka tujuan mengurangkan harga air boleh dicapai.  Lebih-lebih lagi, di bawah Water Services Industry Act, apa-apa kos di luar Capital Expenditure dan operasi tidak boleh dipindahkan ke atas pengguna.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah memulakan penstrukturan semula air di bawah Water Services Industry Act 2006, sejak mengambil alih Selangor pada tahun 2008, malah berunding dengan empat syarikat air, termasuk Puncak Niaga, SPLASH (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd), Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Menurut Charles Santiago, pada dasarnya penstrukturan semula air di Selangor telah diketepikan sementara, kerana tawaran kerajaan negeri tidak diterima kerajaan persekutuan.  Pada pertengahan Mei, kerajaan Selangor juga meminta agar kerajaan persekutuan menamatkan perjanjian konsesi, atau mengarahkan empat syarikat air untuk bersetuju kepada rancangan penstrukturan semula air oleh kerajaan Selangor, tetapi Menteri KeTTHA, Peter Chin mendakwa dirinya tidak berkuasa untuk berbuat demikian. (Bahagian kedua, tamat)


*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 19 Julai 2012.

Tiada ulasan: