Khamis, 26 Julai 2012

Kesesakan Jalanraya, Warga Asing dan Bandar Hijau Perlu Diberi Perhatian





 SUBANG JAYA : Kesesakan jalanraya, perbandaran hijau dan kebanjiran warga asing menjadi topik utama dalam sesi dialog bajet Selangor 2013 peringkat Subang Jaya.

Warga Subang Jaya rata-rata mengutarakan pelbagai cadangan bagi memperbaiki isu-isu berhubungn perkara di atas termasuk permintaan untuk memperbanyakkan rumah kos rendah dan rumah mampu milik.

Menyelesaikan kesesakan jalan raya dianggap bertepatan berikutan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat di Subang.

Wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 18, Subang Jaya, Shia Chi Chin berkata, satu kaedah terbaik diperlukan bagi mengatasi masalah kesesakan jalanraya supaya memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya di kawasan ini.

“Rata-rata wakil persatuan penduduk disini bersepakat bahawa kesesakan jalanraya perlu diatasi.

“Selain itu Kerajaan Negeri diharap dapat membantu Subang Jaya menjadi bandar hijau terlaksana,” katanya ketika ditemui di bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan ialah jalan perlu diselenggara dengan baik, mewujudkan sistem ‘intelligent traffic light’, memperbanyak sistem keretapi MRT dan LRT, dan menjalankan kajian menyeluruh sistem jaringan jalan raya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga diharap dapat mempertimbangkan pelan strategik bagi mewujudkan bandaraya hijau dan menjalinkan kerjasama bersama Program ASEAN Centre bagi melaksanakan program teknologi hijau.

Selain itu, Kerajaan Negeri disarankan supaya mengeluarkan garis panduan pemilikan serta penyewaan rumah untukwarga asing.

 

Terdapat juga cadangan menetapkan kuota peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga asing bagi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan mendapat pekerjaan.

Isu penambahan bilangan rumah kos rendah di Subang Jaya khususnya turut diberi perhatian dan cadangan memastikan rumah kos rendah diberi kepada pemohon yang menepati syarat.

Jesteru itu, Kerajaan Negeri juga diminta untuk menyediakan kemudahan keselamatan, menambahbaik kebersihan dan penyelenggaran rumah sedia ada bagi kemudahan penduduk.

Sesi dialog ini dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada wakil-wakil persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga kerja MPSJ.

Majlis Dialog Bajet ini dirasmikan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid dan ahli-ahli Majlis.

Hannah berkata, sesi ini diadakan sejak dua tahun lalu dan masih diteruskan usaha ini bagi mendapatkan maklumbalas daripada rakyat.

“Dalam proses menyediakan bajet negeri, maklumbalas serta input dari rakyat berhubung penambahbaikan dan pelaksanaan aktiviti sosio-ekonomi di kawasan PBT adalah sangat diperlukan bagi menjana ekonomi negeri secara bersepadu,” kata Hannah.

Tiada ulasan: