Khamis, 5 Julai 2012

Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan pendakwa raya

KHALILAH GUSTI HASSAN

Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan
 
Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
 
 
SHAH ALAM - Perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain di Mahkamah TInggi di sini hari ini, dikejutkan dengan permohonan peguam bela untuk mengeluarkan sepina ke atas tiga timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Mereka yang disepina adalah Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Manjeet memohon demikian sebagai saksi berhubung nota prosiding dua pekerja ladang, U Suresh dan K Sarawanan yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah membakar dan membuang abu Sosilawati dan tiga lain di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting, tahun lalu.

Akhtar membenarkan permohonan itu dan memerintahkan sepina dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, Akhtar berkata, terdapat dua isu yang perlu dipertimbangkannya sebelum memberikan keputusan.

“Susulan sepina ini, saya perlu putuskan sama ada ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu relevan atau boleh dipanggil sebagai saksi atau tidak. “Jika saya putuskan relevan; saya juga perlu putuskan sama ada mereka boleh terus mengendalikan kes ini bagi pihak pendakwaan atau tidak,” katanya.

Akhtar kemudian menetapkan Jumaat ini untuk kedua-dua pihak memberikan hujahan masing-masing sebelum beliau memberikan keputusan.

Beliau turut memberikan kebenaran kepada pihak pendakwaan sekiranya mahu mengemukakan notis bantahan.

Tiada ulasan: