Jumaat, 27 Julai 2012

Kerajaan Pakatan bertaruh dengan kerajaan dalam pemberian bonus Aidilfitri

 
 
KUALA LUMPUR — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dan Pulau Pinang hari ini turut mengumumkan bonus Aidilfitri untuk kakitangan kerajaan negeri yang dipimpin mereka, menjadikan mereka bersaing dengan Barisan Nasional (BN) demi mendapat sokongan rakyat sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian sama kepada penjawat awam kerajaan.

Lim Guan Eng — Foto fail
Di George Town, Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bonus setengah bulan dengan kadar minimum adalah RM600 kepada 3780 kakitangan kerajaan negeri.
 Beliau turut mengumumkan pembayaran RM300 kepada 10 penyelia dan 1,391 buruh. Kesemuanya menelan kos sejumlah RM3.9 juta.

Khalid Ibrahim — Foto fail
Di Selangor pula, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaannya akan membayar separuh bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam negeri.
 Tambahan RM200 bonus turut dimasukkan ke dalam simpanan skim Selangorku untuk setiap kakitangan. Sementara tambahan RM200 lagi akan didepositkan ke dalam akaun Tabung Haji bagi beragama Islam, manakala untuk bukan Muslim, akan mendapat pembayaran melalui Bank Simpanan Nasional.

Perbelanjaan itu akan menyaksikan Selangor menampung beban sejumlah RM20 juta.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian separuh bulan bonus berjumlah RM500 bagi kakitangan awam dan tambahan RM500 untuk pesara yang akan dibayar bermula 9 Ogos depan.

Pembayaran bonus itu bakal menyaksikan kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2.2 bilion dan memanfaatkan 1.27 juta kakitangan awam termasuk 657,000 pesara kerajaan.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan pentadbiran Najib mungkin akan melaksanakan pilihan raya pada September, sebelum Hari Malaysia jika meneruskan rancangan untuk membubarkan Parlimen bulan hadapan.

Difahamkan, pembantu Najib dan pegawai rasmi BN telah memberi penerangan untuk menangguhkan pilihan raya antara Hari Raya Aidifitri, pada 19 Ogos, dan pembentangan Bajet pada 28 September. Hari Malaysia jatuh pada 16 September.

Najib sedang berkira-kira tentang tarikh pilihan raya walaupun menyuarakan keyakinan akan memenangi semua kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

BN menguasai Putrajaya dengan sembilan negeri, manakala Pakatan Rakyat menguasai Kedah, Selangor, Kelantan, dan Pulau Pinang. PR hilang Perak selepas tiga wakil rakyat mereka menjadi Bebas pada Febuari 2009 dan membolehkan BN menawan kembali negeri tersebut.

Tiada ulasan: