Selasa, 24 Julai 2012

Kerajaan Negeri Sedia Beri Bonus Raya





SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menjangkakan akan memberi imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam di Selangor sekiranya Kerajaan Pusat berbuat demikian.

Hal itu ekoran kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri mempunyai rizab mencukupi untuk pemberian bonus kepada kakitangan awam.

“Kerajaan negeri akan melakukannya kerana kita mahukan keadilan kepada semua pekerja. Jika semua dapat bonus, maka mereka juga akan dapat. Tetapi saya tidak boleh tentukan jumlahnya berapa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan SUK di sini pagi tadi.

Menurutnya, pemberian bonus itu juga tidak membabitkan kepentingan politik, sebaliknya untuk menentukan kesamarataan hak penjawat awam.

“Ini bukan satu usaha untuk menunjuk-nunjuk. Seperti awal tahun lalu, semua penjawat awam diberi kenaikan gaji supaya semua merasai kesamarataan dan keadilan. Ini bukan usaha politik,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: