Ahad, 15 Julai 2012

Kerajaan Negeri Ada Pilihan Lain Selain Bina Loji Langat 2





TANJONG KARANG : Kerajaan Selangor mempunyai pilihan lain selain pembinaan Loji Air Langat 2 bagi meningkatkan jumlah pengeluaran air bersih di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan Loji Langat 2 bukan pilihan terbaik kerana ia mempunyai kos yang tinggi bagi membinanya yang akan memberikan kesan tarif air kepada dua juta pengguna.

Abdul Khalid mengulas isu berhubung dakwaan sesetangah pihak akan berlaku krisis air jika kerajaan Selangor menolak cadangan pembinaan Loji Air Langat 2.

“Kita ada pilihan lain, antara pilihan yang kita cuba timbangkan ialah memperbanyakkan lagi air terawat di setiap loji pembersihan air yang ada sekarang.

“Pilihan itu boleh dibuat dalam masa setahun, kalau kita bersetuju hari ini dengan pembinaan Loji Air Langat 2, ia akan selesai dua tahun akan datang,” kata Abdul Khalid semasa sidang media selepas Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat di sini semalam.

Abdul Khalid berkata kini sudah ada syarikat yang mampu menawarkan perkhidmatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air di setiap loji menggunakan teknologi ‘membrane’.

“Sebab itu kita hendak tukar Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) sebab ada syarikat yang boleh meningkatkan pengeluaran air bersih di setiap loji,” kata beliau.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga ingin berbincang berkenaan aset air yang berjumlah RM10.5 bilion agar diiktiraf oleh Kerajaan Pusat.

“Supaya kita dapat tentukan jika ada perkara yang tidak betul Kerajaan Negeri boleh ambil balik harta-harta tersebut.

“Kita sudah membuat tinjauan paip-paip yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri yang tidak tidak diserahkan kepada Syabas iaitu meliputi paip-paip besar dan kecil serta loji pembersihan air dan juga empangan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri,” kata Abdul Khalid.


Tiada ulasan: