Khamis, 12 Julai 2012

Kepala hampir terbelah dua

Wartawan Sinar Harian

mangsa
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Batu 7, Jalan Kapar. Gambar kecil: Kok Kian.
 
 
SUNGAI KAPAR INDAH - Seorang penggali kubur maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah treler yang sedang menunggu pagar sebuah kilang dibuka di Batu 7, Jalan Kapar, berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini awal pagi semalam.

Treler berkenaan yang juga datang dari arah Klang berada di hadapan kilang itu sementara menunggu pengawal membuka pagar. Bagaimanapun bahagian belakang treler itu masih berada di jalan raya manakala bahagian hadapan pula sedang bersiap sedia untuk masuk ke kawasan kilang.

Mangsa, Tew Kok Kian, 29, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke jalan raya.

Ketua Trafik IPD Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.20 pagi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kapar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa merempuh bahagian belakang sebuah treler dan rempuhan kuat menyebabkan kepala mangsa terhantuk pada besi di bahagian belakang treler itu sebelum mangsa tercampak ke jalan raya.

“Hantukan kuat itu menyebabkan bahagian muka dan kepala mangsa hampir terbelah dua,” katanya.

Sejurus kejadian itu, menurutnya, mangsa yang mengalami pendarahan serius di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Zawary berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Tiada ulasan: