Sabtu, 7 Julai 2012

Kempen 714: Demonstrasi aman bantah Lynas

Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: Save Malaysia Top Lynas (SMSL) akan menganjurkan demonstrasi aman pada 14 Julai ini bagi membantah operasi kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.
Demostrasi kempen 714 itu akan diadakan serentak di 30 lokasi terpilih di seluruh negara.

Jelas Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, semalam sudah sampai masanya kerajaan perlu tahu bahawa Lynas bukan hanya melibatkan kepentingan orang Kuantan tetapi seluruh rakyat negara ini.

"Kita ingin perjelaskan kepada kerajaan isu Lynas ini bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Kuantan tetapi juga seluruh rakyat negara ini bahawa bahayanya kesan radioaktif.

"Kempen ini juga menunjukkan bahawa rakyat menentang keras pembinaan Lynas itu," katanya.

Tambahnya lagi, perhimpunan selama satu jam setengah itu akan bermula pada jam 5 petang.

"Lokasi di Kuantan kita telah memilih untuk berkumpul di Bukit Roga dan selepas itu kita akan mendaki bukit berkenaan.

"Setelah mendaki setiap peserta akan mengundi sama ada menyokong Lynas atau menentang, kita akan mengumumkan pihak mana yang menang berdasarkan pengundian tersebut," katanya lagi.

Menurutnya, ini merupakan satu simbolik dan juga isyarat kepada kerajaan bahawa kuasa yang akan menentukan kemenangan kepada sesebuah parti itu terletak pada tangan rakyat.

Tan Bun Teet juga menegaskan bahawa kumpulan SMSL akan menyokong kumpulan yang berjaya menghentikan Lynas tanpa mengambil kira latar belakang politik.

"Kita akan menghantar surat jemputan kepada pemimpin parti politik untuk turut serta dalam perhimpunan tersebut," ujarnya lagi.

Kempen 714 itu mensasarkan antara 15,000 hingga 20,000 orang akan mengikut demonstrasi untuk ke semua lokasi.

Antara lokasi yang dipilih ialah, Pahang: Kuantan, Temerloh, Jerantut, Raub, Sri Jaya, Triang.

Terengganu: Kuala Terengganu.

Kelantan: Kota Bharu.

Pulau Pinang: Pulau Pinang.

Perak: Ipoh, Kampar, Bukit Merah.

Selangor: Cheras Mahkota, Rawang.

Melaka: Melaka.

Negeri Sembilan: Seremban, Air Itam.

Johor: Segamat, Pengerang, Batu Pahat, Jementah, Tangkak, Simpang Renggam, Kluang, Kulai, Bekok, Yong Peng, Johor Bahru, Labis, Muar.

Sabah: Kota Kinabalu.

Australia: Perth, Sydney, Melbourne.

Tiada ulasan: