Sabtu, 28 Julai 2012

Kekeliruan Matrikulasi: 200 pelajar India tercicir

 
Masalah terjadi disebabkan wujudnya kesilapan data peribadi pelajar tidak selaras dalam sistem yang dikendalikan Kementerian Pelajaran. 




PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 200 pelajar cemerlang India tercicir selepas keliru dengan kemasukan panggilan ketiga ke Kolej Matrikulasi sesi 2012-2013 pada 18 Julai lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pendidikan India Malaysia (Mieta), M A Arivu mendakwa, masalah terjadi disebabkan wujudnya kesilapan data peribadi pelajar tidak selaras dalam sistem yang dikendalikan Kementerian Pelajaran.

Arivu berkata, berdasarkan beberapa aduan yang diterima, pelajar yang mendapat surat tawaran keliru apabila nama dan alamat tertera berbeza dan bukan kepunyaan mereka walaupun sampul surat menunjukkan alamat yang tepat.

“Surat tawaran tak sama dalam sistem kolej, ditambah pula dengan kesuntukan masa untuk buat persediaan dan ada yang memutuskan untuk melupakan sahaja matrikulasi.

“Malah Kementerian Pelajaran dan Matrikulasi tidak memberikan akses maklumat terkini kepada mereka untuk disemak,” katanya.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi tambahan 1,000 tempat di Kolej Matrikulasi untuk pelajar India bagi sesi tahun ini.

Pelajar kumpulan pertama ditawarkan masuk pada April lalu manakala yang kedua pada Jun dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan wujud pengambilan ketiga pada Julai.

Selain itu, katanya kumpulan pelajar panggilan ketiga turut berdepan masalah ketinggalan pelajaran selama tujuh minggu dan inimenyukarkan mereka untuk menghadapai peperiksaan semester.

Menteri degil 

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat) Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim mendakwa, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pihak matrikulasi pernah menasihati Kementerian Pelajaran supaya membatalkan Niat kerana berdasarkan kajian akan wujud masalah terbabit.

“Tetapi menteri degil kerana keputusan menteri keputusan politik. Mereka tak ambil kisah apa akibatnya,” katanya.

Thasleem sehubungan itu mahu Ketua Pengarah Matrikulasi sekurang-kurangnya tampil untuk memberi penjelasan mengenai situasi ini kerana majoriti pelajar yang terjejas adalah daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Kalau begini Menteri dan Timbalannya perlu letak jawatan,” katanya.

Tiada ulasan: