Khamis, 19 Julai 2012

Kejayaan besar Himpunan Hijau seluruh negara

Abd Shukur Harun I shukurharun@yahoo.com,


Sepanjang tepi jalan dua kilometer menuju Himpunan Hijau peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor malam 15 Julai lalu menghantar suatu isyarat jelas bahawa sambutan rakyat Selangor, khususnya kawasan berdekatan terhadap PAS/Pakatan Rakyat sangat menyerlah.

Ternyata sokongan terus bertambah, walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berdepan dengan serangan propaganda dari Umno/BN siang dalam malam.

Ini kerana Selangor yang kaya dan strategic telah menjadi negeri yang sangat menyerlah dari segi pembangunan fizikalnya, dengan taburan institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta, industri besar, sederhana dan kecil, bangunan bersejarah dan segalanya dan dengan Shah Alam sebagai Ibu Negeri yang serba anggun dan meriah.

Sebab itu limpahan melebihi 30,000 orang yang hadir sejak petang hingga malam di Stadium Kuala Selangor itu memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor masih mendapat sokongan penuh rakyat.

Bendera PAS yang berkibar puluhan ribu banyaknya di sekitar stadium itu adalah alunan gelombang hijau yang akan sampai ke Puterajaya yang jaraknya tidak begitu jauh dari Shah Alam.

Keadaan petang hingga ke malam di sekitar stadium tersebut begitu meriah, bagai sebuah pesta besar di bandar tepi laut itu.

Cuaca cerah di sebelah petang, membawa ke malam, walaupun ada sedikit rintik menjelang tengah malam, namun orang ramai tidak berganjak di dalam stadium, mendengar ceramah dari pemimpin PAS/Pakatan Rakyat, bekas pemimpin Umno dan bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS.

Layar besar terkembang memaparkan wajah Muhamad Sabu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Tan Sri A. Kadir Sheikh Fadzil, Dr. Dzulkifly Ismail, Dr. Siti Mariah Mahmud, Teresa Kok dan lain-lain.

Di malam itu, tiga lagi bekas pegawai tinggi kerajaan menyerahkan borang permohonan keahlian PAS pada Himpunan Hijau tersebut.
Mereka bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang selama 31 tahun, Abdul Rahman Taib. Seorang lagi adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik selama 33 tahun dan juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah.

Manakala tokoh ketiga ialah bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Bahagian Pengurusan dan bekas Pengarah Perhubungan dan Sumber Manusia di Jakim, Yusuf Hassan. Ketiga-tiga tokoh tersebut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Juga sangat menarik di malam itu ialah kehadiran ramai kalangan kaum Tionghua dan India, malah ada di antara mereka mengibarkan bendera PAS.

Seorang dari mereka yang memperkenalkan dirinya, Mr. Lai memberitahu saya bahawa beliau membawa isterinya datang ke stadium ini untuk bersama-sama memberi sokongan kepada PAS, juga untuk mendengar ceramah pemimpin Pakatan Rakyat.

Dengan agak fasih berbahasa Melayu, Mr. Lai berkata: “Saya tengok penyokong Pakatan Rakyat begitu serius untuk mempertahankan Selangor. Saya rasa megah.”

Isterinya yang berdiri di sebelahnya mencelah, “Kami harap Pakatan dapat kekalkan Selangor’.

Seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya, Wak Raden memberitahu, kalau macam ini kehadiran orang ramai, payahlah BN nak rampas Selangor. Ia disetujui oleh isterinya, “Saya fikir begitu juga.”

Naib Yang Dipertua PAS Kelana Jaya, Muzammil Hafiz pula berkata bahawa kehadiran yang ramai ini membuktikn bahawa usaha musuh PAS melaga-lagakan PAS dengan DAP tidak berhasil.

Pakatan Rakyat, katanya, masih padu di mana ramai orang bukan Islam turut hadir di Himpunan ini malam ini.

Parlimen Kuala Selangor diwakili oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, sementara tiga Dunnya, Bukit Melawati diwakili oleh Muthiah Maria Pillay (PR), Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PR), sementara Jeram diwakili oleh Amiruddin Setro (BN).

Bagi pihak panitia sambutan Himpunan Hijau Kuala Selangor, Dr. Dzul mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka hadir dan memberi sokongan terhadap perjuangan PAS/Pakatan rakyat.

4 sertai PAS di Johol

Sementara itu, di Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ribuan orang, termasuk bukan Islam, telah menghadiri Himpunan Hijau Menuju Puterajaya peringkat Negeri Sembilan serentak di Himpunan Kuala Selangor.

Di majlis yang meriah itu, empat bekas pemimpin setempat dan bekas pegawai tinggi kerajaan ini telah diumumkan menyetai PAS.

Mereka ialah bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Zainal Isa; bekas Pengurus Pos Malaysia Berhad Zon Selatan, Mokhtar Musa, bekas Pembantu Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Anuar Hashim dan bekas Pengerusi JKKK Kampung Pilin, Rembau, Ramli Jalun.

Ketika Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Norazman Mohamad memperkenalkan mereka di depan ribuan yang hadir, disambut dengan laungan takbir. Mokhtar, Anuar dan Ramli juga merupakan ahli Umno sebelum menyertai PAS.

Turut berucap di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; Datuk Tamrin Ghafar; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakub menyatakan puas hatinya akan kehadiran orang ramai dan merasa amat terharu kerana semakin ramai – dari pelbagai golongan - menuyertai PAS.

Walaupun  mengharungi pelbagai fitnah dan tuduhan dari musuh PAS, katanya, namun rakyat semakin ramai menyokong PAS. Menurut beliau, tuduhan bahawa PAS jadi alat DAP dan DAP jadi alat PAS yang dijajah di sana sini oleh musuh PAS, ternyata tuduhan itu ditolak oleh rakyat.

Kini selesai sudah Himpunan Hijau seluruh Semenanjung dan pelbagai pihak mengharapkan himpunan ini akan menjadi gelombang besar menghantar tsunami politik yang akan merobah geopolitik negara yang selama lebih setengah abad didominasi oleh Umno/BN.

Tiada ulasan: