Khamis, 26 Julai 2012

‘Kawan pun bagitahu saya press polis terus pukul’

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Seorang petugas media hari ini berpandangan polis melanggar Seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ketika bertugas di Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak bersetuju ketika wakil pemerhati daripada Bersih pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini membacakan kandungan sekyen 24 dan meminta pandangan beliau.

Seksyen 24 memperuntukkan mana-mana wakil media boleh mempunyai akses yang munasabah kepada tempat perhimpunan dan menggunakan apa-apa kelengkapan untuk membuat laporan tentang perhimpunan itu.

"Adakah anda rasa seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ini telah dilanggar?" soal pemerhati dan disusuli jawapan 'ya' oleh Radzi.

Pada hari tersebut, Radzi, 27, dipukul oleh tujuh anggota polis ketika berada di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Razak pada perhimpunan tersebut.

Menurutnya, sebelum beliau dipukul, beliau nampak dua anggota polis bercakap sesuatu kepada sekumpulan anggota yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka sebelum mereka berpecah dan memukul peserta yang berada di kawasan sekitar.

"Sekumpulan polis menuju ke arah saya dan menendang kepala saya sehingga jatuh terlentang. Saya jerit 'press' dan kawan-kawan saya pun bagitahu saya press. Polis terus pukul dan kemudian berlalu tanpa kata apa-apa," kata beliau yang merupakan saksi ke-17.

Beliau berkata demikian di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: