Khamis, 5 Julai 2012

Isu hudud: NGO minta rangka pelan induk berlandas syariah

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat agar hukum hudud dilaksanakan di Johor, dan menggesa satu pelan induk berlandaskan hukum syariah perlu dirangka terlebih dahulu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman berkata, pelaksanaan itu perlu diteliti supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.

“Kita bimbang masyarakat keliru dengan hukum hudud padahal ia merupakan sebahagian kecil daripada syariat Islam yang meliputi aspek kehidupan.

“Malah, kami ingin menyeru agar perkara ini dilihat secara objektif bukan dijadikan sebagai bahan untuk dipolitikkan ,” katanya, semalam. Setiausaha Agung Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Nahar Mohd Nor pula berkata, pelaksanaan hudud perlu dirancang dan dinilai secara keseluruhan agar, tidak timbul isu hanya negeri tertentu sahaja melaksanakan hukum tersebut.

“Jika hudud tidak diselaraskan dengan baik, ia boleh menimbulkan fitnah kerana dilakukan tanpa persiapan rapi.

“Hukum ini perlu dikaji dengan terperinci dan menyeluruh di dalam dan luar negara agar terutama memberi pemahaman kepada masyarakat Islam sendiri,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Abdul Halim Ismail berkata, kenyataan Adun Kemelah itu dianggap perkara biasa bukannya perkara ganjil.

“Pelaksanaan hudud patut diterima secara positif dan perkara ini menjadi kontroversi apabila dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

“Namun, pelaksanaannya perlu dijalankan secara menyeluruh kerana kemungkinan ada pihak cuba melarikan diri daripada dikenakan hukuman itu ke negeri lain,” katanya.

Tiada ulasan: