Sabtu, 14 Julai 2012

Himpunan Oren: Kawasan Masjid Wilayah, Kompleks Wilayah jadi tumpuan

JAMILAH HAMZAH & NORAIZURA AHMAD

Himpunan Oren: Kawasan Masjid Wilayah, Kompleks Wilayah jadi tumpuan
Sebahagian peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda bersama sepanduk di kawasan berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan.
 
 
KUALA LUMPUR - Kawasan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kompleks Mahkamah Jalan Duta kini menjadi tumpuan dengan pihak polis mempertingkatkan kawalan menjelang Himpunan Oren Selamatkan Felda petang ini.

Pukul 12 tengah hari, dua bas dinaiki peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda tiba di pekarangan masjid.

Sementara itu, orang bukan Islam telah berkumpul di Kompleks Mahkamah.

Pukul 1.15 tengah hari, kelihatan beberapa khemah telah didirikan untuk menjual baju berwarna oren dan hijau.

Menurut polis, pihaknya akan menutup beberapa jalan di sekitar Jalan Duta menuju ke masjid dan kompleks mahkamah bagi memberi laluan kepada Himpunan Oren Selamatkan Felda.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ibadah,  Jalan Duta Mas Satu dan Sri Hartamas akan ditutup secara berperingkat sepanjang perhimpunan tersebut diadakan.

Menurutnya, pihaknya akan membuat lencongan jalan untuk pengguna jalan raya lain.

"Peserta perhimpunan akan berkumpul di tempat letak kereta Mahkamah Jalan Duta sebelum berarak ke pintu tiga Istana Negara.

"Kita menganggarkan 3,000 peserta akan menyertai perhimpunan ini," katanya pada taklimat media di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana tiada laluan trafik akan berlaku.

Beliau berkata, anggotanya akan mengawal dan memantau keadaan bagi mengelakkan kejadian yang boleh menggugat keamanan.

Zakaria berkata, hasil perbincangan tiga kali dengan penganjur Himpunan Oren iaitu pada 6, 9 dan 13 Julai lalu, hanya lapan wakil mereka dibenarkan untuk memasuki pintu tiga Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Menurutnya, peserta himpunan tersebut boleh menunggu lebih kurang satu kilometer daripada pintu Istana Negara semasa wakil mereka menyerahkan memorandum.

Himpunan tersebut yang dianjurkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Menurut penganjur dianggarkan lebih 20,000 orang akan menyertai himpunan tersebut.

Tiada ulasan: