Selasa, 17 Julai 2012

Himpunan Hijau Menuju Putrajaya: “BN sakit”

Roketkini.com,
KUALA SELANGOR: Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana parti memerintah melaga-lagakan kaum dan agama untuk terus berkuasa, kata Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Berucap di hadapan puluhan ribu rakyat semasa Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor malam semalam, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, pembohongan dan fitnah yang melaga-lagakan kaum secara berterusan ke atas pimpinan Pakatan Rakyat mencerminkan betapa BN sedang ‘sakit’.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Selangor menceritakan  bagaimana beliau sendiri difitnah berkenaan isu azan di Puchong sehingga disumbatkan ke dalam ISA.

“Saya dimasukkan ke dalam ISA dulu, kemudian baru polis siasat. Kemudian hasil siasatan menunjukkan bahawa saya tidak pernah pun pergi ke masjid tersebut dan tidak pernah bangkitka isu azan dan (Timbalan Pengarang Utusan Malaysia) Zaini Hassan memutarbelitkan cerita ini di Utusan,” katanya.

Menurutnya, fitnah perkauman terhadap Pakatan Rakyat terus dilakukan hingga sekarang, termasuk mendakwa bahawa beliau (Teresa) mahu menjadi Menteri Besar Selangor manakala Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri.

“Ini semua tidak benar sama sekali. Kita telah jelaskan sejak dahulu lagi bahawa orang Melayu merupakan majoriti di negeri ini dan kita akan terus menyokong kepimpinan yang berintegriti dan bersih,” tambah beliau.

“Lawan gergasi yang lama berkuasa”


(Ribuan manusia di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor)

Turut memberi ucapan pada malam gilang-gemilang tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang menyatakann bahawa dakwaan UMNO yang mengatakan Pulau Pinang kini diambil oleh ‘Cina’ adalah melucukan.

“Dulu Koh Tsu Koon tu Melayu kah?” ujar beliau disambut tepukan dan sorakan hadirin.

“Kalau Melayu pun, apa yang kita mahukan ialah kepimpinan yang bersih dan berintegriti. Kalau kepimpinan Melayu pun rosak, tidak ada gunanya.”

Mengakhiri ucapan beliau, Wan Azizah menyeru agar seluruh pejuang Pakatan Rakyat yang mendokong kebenaran dan keadilan agar terus istiqamah.

“Kita bukan lawan mereka yang lemah, tetapi kita melawan gergasi yang lama berkuasa.”

DAP gadai tanah rizab Melayu?

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula meminta agar seluruh rakyat Malaysia menolak UMNO dalam pilihan raya akan datang kerana mereka telah banyak menggadaikan kepentingan rakyat dan negara.

“Siapakah yang telah menggadaikan dari 3 juta hektar tanah Melayu kepada hanya 1.7 juta hektar yang tinggal sekarang? Adakah DAP? Siapakah yang telah menghilangkan Bank Bumiputera, adakah DAP?”

Menurut beliau, kini pendedahan penyelewengan bukan sahaja dibuat oleh pimpinan oposisi seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, malah ia didedahkan oleh Jabatan Audit Negara sendiri.

“Dulu bila Lim Kit Siang dedahkan skandal Bank Bumiputera, mereka (UMNO) mengenakan dakwaan perkauman terhadap beliau seolah-olah ingin menjatuhkan kepentingan orang Melayu.

“Tapi kini, bila pegawai-pegawai audit yang terdiri dari orang Melayu sendiri yang mendedahkan penyelewengan kerajaan, mereka nak kata apa?” jelas beliau.

Tiada ulasan: