Isnin, 30 Julai 2012

Hari kedua Olimpik London, Malaysia masih ketandusan pingat

THE MALAYSIAN INSIDER

Pasukan Malaysia masih tidak meraih sebarang pingat pada hari kedua Olimpik London. — Gambar dari Reuters 
 
LONDON — Malaysia meneruskan kempen hari kedua Sukan Olimpik 2012 dengan saingan mengecewakan walaupun Yu Peng Kean melakar kejutan menumpaskan lawan yang lebih tinggi ranking daripadanya dalam acara lawan pedang di sini hari ini.
 Pasangan penerjun wanita negara yang diharapkan dapat membuat kejutan, bagaimanapun gagal mempamerkan aksi bertenaga untuk menduduki tempat terakhir dalam acara 3m papan anjal berirama wanita.

Meskipun acara lawan pedang tidak diletakkan harapan untuk memberikan pingat emas pertama kepada Malaysia pada temasya itu, Peng Kean membuktikan sukan berkenaan pada suatu hari nanti bakal menyumbangkan pingat kepada negara.

Dalam acara Individu Sabre Lelaki, Peng Kean yang menduduki ranking ke-37 dunia, menumpaskan pesaingnya yang berada di ranking ke-28 dunia, Zeid Mannad dari Mesir 15-2 pada pusingan pertama sebelum dikecewakan atlet nombor lima dunia dari Hungary, Szilagyi Aron dengan 1-15.

"Lawan pedang adalah sukan yang dipertandingkan di Olimpik tetapi di Malaysia sukan berkenaan tidak begitu popular. Saya harap lebih ramai atlet lawan pedang Malaysia serius dalam sukan tersebut," kata Peng Kean.

 Peng Kean merupakan atlet lawan pedang kedua Malaysia yang beraksi di Sukan Olimpik selepas Ronnie Theseira yang menyertai acara foil, epee dan sabre individu pada Olimpik Tokyo 1964.

Di Pusat Akuatik, Pandelela Rinong anak Pamg dan Cheong Jun Hoong menduduki tempat terakhir dalam kalangan lapan negara yang layak dalam acara 3m papan anjal berirama wanita.

Pasangan Malaysia itu mengutip 283.50 mata, 62.70 mata di belakang pemenang pingat emas dari China, Wu Minxia-He Zi yang mengumpul 346.20 mata.

Di arena Wembley, beregu kelapan dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong layak beraksi dalam acara beregu lelaki selepas menumpaskan Tony Gunawan/Howard Bach dari Amerika Syarikat 21-12, 21-14.

Pada hari ketiga temasya esok, pemain perseorangan nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei akan memulakan kempen untuk memperbaiki pencapaian pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Chong Wei yang tidak beraksi selama beberapa bulan akibat kecederaan, akan bertemu Ville Lang dari Finland sementara Tee Jing Yee akan berdepan Agnese Allegrini dari Itali dalam acara perseorangan wanita.

Atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin akan berpeluang menebus kekecewaannya dalam acara recurve berpasukan lelaki apabila bertemu Gankin Denis dari Kazakhstan dalam acara individu.

Sementara, atlet kapal layar negara Khairulnizam Mohd Affendy mengharapkan angin kencang dan arus deras esok apabila turun beraksi dalam acara Dinghi Lelaki (Laser). — Bernama

Tiada ulasan: