Sabtu, 28 Julai 2012

Guan Eng mahu Hishamuddin susun semula polis, ramaikan yang perangi jenayah, kurangkan intipan politik


KUALA LUMPUR– Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu menteri dalam negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menempatkan semula polis bagi memerangi jenayah daripada terus membuat intipan politik.

“DAP ingin mengulangi tuntutan kami kepada Kementerian Dalam Negeri supaya pegawai-pegawai polis dilantik untuk tujuan memerangi jenayah.

“Jika perlu, Hishamuddin patut menempatkan semula pegawai-pegawai perisik Cawangan Khas (SB) untuk memerangi jenayah daripada kegiatan mengintip dan mengganggu pemimpin-pemimpin PR.

“Jika SB dapat ditempatkan semula untuk menghasilkan lebih daripada 700,000 laporan tentang jenayah dan penjenayah daripada laporan tentang pemimin-pemimpin PR, maka dana rakyat bukan sahaja akan digunakan dengan betul tetapi keyakinan bahawa polis akan menjaga kepentingan awam dan bukan hanya kepentingan politik UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan dihasilkan,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikirimkan kepada The Malaysia Insider.

Selain Guan Eng (gambar) juga mahu polis membuat penilaian bebas dan tepat mengenai isu jenayah dan tidak bergantung kepada statistik yang dikumpul oleh kerajaan Persekutuan yang hanya bertujuan untuk memuaskan hati orang ramai mengenai statistik yang tidak tepat.

“Lebih teruknya, mangsa-mangsa rompakan bukanlah hanya rakyat biasa tetapi juga orang-orang kenamaan dan ahli-ahli politik kebangsaan.

“Dalam kes-kes terbaru, ahli EXCO Melaka Datuk Latiff Tamby Chik telah mengalami kerugian sebanyak RM200,000, sementara rumah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Long dan jirannya telah dipecah masuk.

“Kejadian-kejadian seperti ini menimbulkan perasaan curiga terhadap penurunan indeks jenayah yang diuar-uarkan,” kata Ketua Menteri  (KM) Pulau Pinang itu.

Menurut KM Pulau Pinang itu lagi, sehingga kini Hishamuddin masih belum menjawab dakwaan SB menghasilkan 382,000 laporan mengenai kegiatan politik rakyat Malaysia dengan menggunakan dana dari belanjawan negara tahun ini.

“Sehingga kini, beliau masih tidak menjawab dakwaan bahawa SB telah menghasilkan 382,000 laporan mengenai kegiatan-kegiatan politik rakyat Malaysia dan menjalankan 351,000 pemeriksaan keselamatan pada tahun 2010, berdasarkan peruntukan polis dalam Bajet 2012,” katanya.

Beliau berkata sekiranya kerajaan BN tidak berubah dan terus menggunakan SB untuk kepentingan mereka, maka rakyat tidak ada pilihan lain selain dari menukar kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan PR akan memastikan fungsi SB adalah untuk membuat risikan ke atas penjenayah dan pelampau yang ingin menggunakan keganasan untuk menggulingkan kerajaan dengan cara tidak berperlembagaan, dan bukan sebagai senjata terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyertai proses demokratik secara aman,” katanya lagi.

Tiada ulasan: