Jumaat, 27 Julai 2012

FGVH: Fahami tawaran Pakatan, bukan andaian

Khairil Abdul Rahim,

Wartawan yang mahu menulis tentang isu-isu berkaitan Felda termasuk penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding FGVH) diminta memahami isu tersebut betul-betul, bukan sekadar merujuknya daripada sumber sebelah pihak bagi tulisan yang ‘mengampu’.

Ini penting kerana jika isu yang dibicarakan sekadar ‘menggula-gulakan’ pembaca, persoalan sebenarnya yang melingkari peneroka dan perlukan penyelesaian tidak akan terungkai.

Semalam (Khamis) sebuah rencana dalam akhbar Berita Harian bertajuk ‘Isu FGV: Waspada gula-gula pembangkang’ yang ditulis sendiri oleh Ketua Biro Negeri Pahang akhbar berkenaan, menunjukkan beliau sendiri tidak faham dengan isu yang dibangkit oleh Pakatan Rakyat dan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pahang Jusoh Darus berkata, ketika Timbalan Menteri Hal Ehwal Felda Datuk Ahmad Maslan berhujah di parlimen satu ketika dulu berhubung penyenaraian saham FGVH, beliau memberitahu bahawa tujuannya untuk meningkatkan taraf hidup peneroka.

Atas alasan tersebut, peneroka sepatutnya diberikan keutamaan dalam agihan saham. Namun apa yang terjadi selepas penyenaraian tersebut 28 Jun lalu ialah seramai 112,635 warga peneroka hanya mendapat 5% saham iaitu masing-masing 800 unit. Itupun dengan hutang melalui beberapa buah bank. Bakinya dijual kepada bukan peneroka dan pelabur-pelabur luar negeri.

Jadi setelah ‘bagaikan langit nak runtuh’ dengan pelbagai janji yang muluk-muluk kononnya peneroka akan mengalami tranformasi besar dalam kehidupan baru mereka apabila saham kedua terbesar selepas Facebook itu disenaraikan, rupa-rupanya hanya itulah yang mereka dapat.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan beberapa kroni lain yang bukan dari komuniti peneroka dapat berapa? 180,000 unit! Jadi berbalik kepada ucapan Ahmad Maslan di parlimen tadi, inikah maksud beliau peneroka akan dapat manfaat besar?

Sudahlah peneroka yang majoritinya berusia 50 tahun ke atas itu dipaksa berhutang, apa pula yang mereka tahu tentang bermain saham? Malah hasil pinjaman peneroka bukannya mereka yang untung tetapi bank, peguam dan broker.

“Inilah yang Pakatan dan  GSF perjuangkan sekarang,” kata Jusoh.

Takdirnya saham terus menjunam dan peneroka tidak mampu membayar balik hutang bank, apa yang akan terjadi? Oleh itu jangan diperkecilkan jika peneroka berasa bimbang dengan tergadainya tanah ladang 10 ekar dan tapak rumah kerana jumlah hutang bank tidak pernah dinyatakan.

“Jadi apabila penulis artikel tersebut mengatakan Pakatan menimbulkan keraguan mengenai niat murni kerajaan, itu tak betul sedangkan apa yang kita beritahu tidak mahu komuniti peneroka menjadi ibarat ayam terlepas tangan bau tahi”.

Apa yang tidak disebut dalam artikel berkenaan ialah untuk mengapungkan saham FGVH itu, kerajaan-kerajaan negeri terpaksa mencagarkan Tanah Rizab Melayu seluas 36,000 ekar. Bagaimana sekiranya takdirnya pemilikan saham bertukar tangan kepada pelabur asing?

Kenapa ini tidak diulas langsung oleh penulis artikel berkenaan?

“Satu lagi, Felda sudah jauh tersasar daripada matlamat asal penubuhannya. Semasa penubuhannya dulu ialah fungsinya ialah ‘land for the landless’ iaitu penduduk kampung yang tidak memiliki tanah diberi peluang menjadi warga Felda.

“Tetapi bermula pada era Tun Dr Mahathir iaitu melalui dasar penswastaan matlamat Felda telah berubah menjadi korporat sehingga tanah yang sepatutnya menjadi ‘land for the landless’ telah diubah kepada Felda Plantation.

“Sebab itu apa yang Pakatan Rakyat tawarkan jika diberi peluang memerintah ialah membuka lebih besar ladang Felda kepada warga negara Malaysia dan tidak statik kepada jumlah 112,635 peneroka sahaja,” katanya.

Dasar Pakatan mengisi peneroka Felda ini juga sebenarnya menguntungkan orang Melayu sendiri dari segi jangka panjang kerana pertambahan peneroka Felda di penempatan-penempatan baru sekali gus akan menambahkan pula parlimen dan Dun Melayu.

Artikel tersebut juga jelas memetik daripada sumber yang salah apabila mengatakan  “Selain itu, pelbagai taktik digunakan pembangkang untuk mendorong generasi kedua FELDA memihak kepada mereka seperti isu pemberian tanah seluas 2.02 hektar (lima ekar) secara percuma kepada golongan itu seandainya berjaya memenangi pilihan raya umum nanti.”

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) Pahang, Yohanis Ahmad, berkata barangkali penulis tersebut tidak penahpun menatap Buku Jingga yang mengandungi tawaran Pakatan Rakyat, jika dinilai daripada tulisannya.

Sebenarnya tawaran tanah Felda Plantation ialah kepada golongan iaitu buruh atau peserta Felda Plantation, generasi kedua dan ketiga Felda yang berkelamin dan memenuhi kriteria seperti tiada tanah, bekas anggota tentera yang dijanjikan tanah oleh Kerajaan (janji yang tidak dilunaskan),  kakitangan Am Rendah Felda dan anak tempatan yang mendiami kawasan berhampiran Felda Plantation.

Jadi tekaan penulis bahawa jika janji memberi tanah ini kepada generasi kedua Felda dilunaskan Pakatan terpaksa menyediakan tanah seluas 1,139,544 juta hektar tanah bersamaan 11,395.56 kilometer persegi (kerana lojik beliau setiap 112,635 peneroka mempunyai lima orang anak, bermakna terdapat 563,175 generasi kedua iaitu 5 x 112,645) itu langsung tersasar kerana berdasarkan lojik penulis semata-mata.

Tanah hanya diberikan kepada yang betul-betul memerlukan. Adakah anak peneroka yang sudah berjaya seperti Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor Syabas) Tan Sri Rozali Ismail (anak peneroka Felda Gedangsa, Hulu Selangor) dan selebriti terkenal Che Wan (anak peneroka Sungai Koyan, Raub) masih perlukan tanah Felda Plantation?

Sebab itu kita katakan penulis hanya menulis berdasarkan lojik dan andaiannya sendiri semata-mata tanpa merujuk kepada sumber sebenar.

“Dengan demikian Anak Pahang bersedia pada bila-bila masa memberikan penerangan terperinci sekiranya penulis berkenaan benar-benar mahu faham tentang isu-isu peneroka. Atau jika merasakan diri sudah begitu pandai, masuklah politik!

“Lagi satu, tidak wajar melabelkan tawaran dan manifesto Pakatan sebagai ‘jarum’ dan ‘gula-gula’ seperti disebutkan dalam artikel berkenaan kerana ia merupakan janji dan komitmen Pakatan apabila berjaya Ke Putrajaya”, katanya.

Tiada ulasan: