Jumaat, 27 Julai 2012

Empat rumah terbakar, penghuni selamat

NUR FARHANA ABDUL MANAN

Sebuah daripada empat rumah yang terbakar di Kampung Seri Puchong, pagi semalam.
Sebuah daripada empat rumah yang terbakar di Kampung Seri Puchong, pagi semalam.
 
 
PUCHONG - “Mulanya saya sangka bunyi letupan mercun tetapi apabila terhidu bau hangit, saya terus ke dapur dan mendapati api marak membakar rumah jiran yang terletak di bahagian belakang,” kata Tajuddin Rahli, 67,  seorang mangsa kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Seri Puchong, di sini, pagi semalam.

Tajudin berkata, ketika kejadian dia baru sahaja mahu membaca buku sementara isteri ke kelas mengaji manakala anaknya keluar ke tempat kerja.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut itu dia yang berada di tingkat bawah naik ke tingkat dua rumahnya dan sempat mengambil beg duit, telefon bimbit serta sehelai seluar panjang.

Katanya, bimbang api merebak, dia segera mengalihkan dua kenderaan di garaj ke tempat selamat namun tidak sempat menyelamatkan perkakas di dalam rumah kerana api merebak pantas membakar tingkat atas rumah diperbuat daripada kayu yang didiaminya.

“Saya tidak tahu dari mana api bermula tetapi dimaklumkan ia datang dari rumah di bahagian belakang milik saya yang disewakan kepada sebuah keluarga.

“Kerugian dianggarkan hampir RM300,000 kerana saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang ketika kejadian,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norila Seman, 24, berkata, dia menyedari api mula membakar bahagian dapur rumahnya setelah dikejutkan anaknya ketika sedang tidur.

Katanya, sebaik terjaga dia terkejut melihat asap hitam memenuhi ruang biliknya dan segera membawa anak berusia lima dan empat tahun keluar dari rumah.

“Ketika itu saya tidak sempat berfikir panjang untuk membawa  barang-barang berharga keluar dari rumah  kerana mahu menyelamatkan nyawa sendiri dan anak-anak terlebih dahulu.

“Setelah itu barulah hubungi suami untuk memberitahu apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.31 pagi dan maklumat awal diterima adalah berhubung kebakaran sampah.

Menurutnya, 16 minit kemudian pihaknya sekali lagi menerima panggilan memaklumkan kebakaran membabitkan empat rumah dan sebaik sampai kesemua  mangsa sudah keluar menyelamatkan diri.

“Tiada kecederaan dan kemalangan berlaku, api berjaya dikawal sepenuhnya dari merebak. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: