Selasa, 10 Julai 2012

Dr Rani tolak debat dengan Hasan Ali

NURUL AINI MOHAMED ALI

Dr Abd Rani Osman
Dr Abd Rani Osman
 
 
SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menegaskan pendiriannya tidak akan berdebat dengan Pengerusi Jati, Dr Hasan Ali seperti yang dikhabarkan akan diadakan 11 Julai ini.

Satu debat perdana anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Masyarakat Prihatin Meru (GWP) bakal  diadakan di Meru melibatkan Hasan dan Dr Rani.

Dr Rani menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor tahun lalu.

"Saya tidak nafikan yang wakil Hasan Ali ada datang ke pejabat saya bagi menghantar jemputan bagi mengadakan debat.

"Namun demikian, pihak saya tidak pernah memberi sebarang jawapan atau bersetuju untuk mengadakan debat yang dicanangkan kepada orang ramai kini," katanya pada sidang media di lobi Bangunan SUK hari ini.

Pihaknya juga menegaskan yang tindakan Hasan itu sebagai satu provokosi atau gangguan gangstrerisme yang cuba dilakukan terhadap Pas.

"Saya minta agar cubaan yang tidak bermaruah ini dihentikan dengan segera," tegas beliau.

Tambah beliau, Hasan hanya terdesak untuk menunjukkan dirinya masih lagi relevan di mata rakyat walupun hakikat sebenar adalah sebaliknya.

"Beliau jelas kelihatan terdesak. Ini adalah usaha beliau untuk memberi gambaran yang saya tidak berani berdepan untuk berdebat dengan beliau," katanya lagi.

Katanya lagi, jika Hasan benar-benar ikhlas, beliau sudi menghantar, Timbalan Pesuruhjaya Pas, Khalid Samad untuk berdebat.

Ini kerana, Dr Rani berkata yang Hasan gentar untuk berdepan dengan Khalid, yanh juga Ahli Parlimen Shah Alam.

"Jika benar mahu debat, carilah tempat dan moderator yang neutral. Bukan berpihak kepada mana-mana parti untuk mengelakkan terjadinya ketidak adilan," tambahnya.

Tiada ulasan: