Ahad, 15 Julai 2012

Catu Air Di KL, Hulu Langat, Klang - Syabas

 MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air yang semakin serius di Lembah Klang.

Justeru itu, Syabas akan mengemukakan pelan tindakan proaktif yang antara lain cadangan catuan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata tindakan proaktif perlu diambil bagi menyelesaikan krisis air yang melanda tiga kawasan berkenaan berdasarkan aduan pengguna.

"Jika diluluskan SPAN, Syabas akan mencatu air di kawasan berkenaan. Kita akan memaklumkan kepada penduduk sebelum melakukan catuan itu," katanya pada sidang media di kawasan perumahan Taman Sungai Besi Indah, di sini, Sabtu.

Menurutnya sebanyak 125,075 akaun kilang, rumah dan kedai di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sering menghadapi gangguan bekalan air.

Ruslan mengesahkan bahawa krisis bekalan air sudahpun melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan kapasiti pengeluaran air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) tidak mampu menampung permintaan sejak kebelakangan ini.

Berikutan dengan permintaan yang meningkat, beberapa kolam utama mengalami penurunan paras air sehingga rezab bekalan air bersih kini di tahap kurang daripada tiga peratus, katanya.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan tekanan air rendah sehingga menjejaskan bekalan air kepada kurang sejuta penduduk di sekitar kawasan Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Senario itu, katanya menyebabkan beberapa LRA beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuknya serta berhadapan tekanan untuk memenuhi permintaan.

Sejak sebulan lepas, permintaan bagi air terawat berada pada tahap 4,349 juta liter sehari (JLH) walaupun kapasiti bekalan air yang boleh dikeluarkan serta diagihkan dari kesemua 34 LRA adalah pada 4,371 JLH sahaja.

Ruslan menjelaskan keadaan itu menunjukkan kapasiti bekalan air berada pada tahap kritikal berikutan permintaan air melepasi kapasiti yang boleh diagihkan LRA.

Beliau menegaskan fakta yang dikeluarkan Syabas adalah berdasarkan unjuran sebenar dan pihaknya bersedia mendedahkan segala maklumat yang diperlukan berkaitan krisis itu untuk kepentingan pengguna.

"Ini sejajar dengan tanggungjawab yang telah diamananhkan kepada Syabas untuk mengagihkan bekalan air kepada pengguna seperti termaktub di dalam perjanjian konsesi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kira-kira 1.8 juta pengguna di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami krisis bekalan air sekiranya Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor serta pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum siap menjelang 2014.

Justeru, Ruslan meminta supaya Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Pusat segera berbincang bagi membina Loji Rawatan Air Langat 2 mengikut jadual yang ditetapkan.

"Saya harap rundingan ini akan membuahkan hasil. Jika projek ini diteruskan serta merta, ia mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk disiapkan. Dalam tempoh itu, rakyat semakin bertambah dan menyebabkan permintaan air juga akan meningkat," katanya.

Sementara itu, wakil penduduk kawasan perumahan Taman Sungai Besi Indah, Ho Kok Siong, 61, berkata gangguan bekalan sering berlaku di kawasan itu sejak tahun lepas dan semakin teruk tahun ini.

"Saya minta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor segera selesaikan masalah ini. Kami sudah tidak tahan jika setiap hari tiada bekalan air yang kadang-kala berlarutan sehingga seminggu," katanya yang tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun lalu. - BERNAMA

Tiada ulasan: