Jumaat, 6 Julai 2012

Bukan Islam assassinate henti pertikai hudud


Wartawan Sinar Harian

Logo Jati tidak haram
 
SHAH ALAM - Orang bukan Islam yang tidak faham mengenai hudud tidak wajar mengeluarkan kenyataan kerana ia akan mengguris hati orang Islam.

Timbalan Presiden Persatuan Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali berkata, pihaknya menasihatkan agar pihak yang terlibat berhenti daripada mengeluarkan komen yang berunsurkan politik.

Bagaimanapun, beliau menyeru agar pemahaman sebenar dan menyeluruh mengenai hudud disebarkan kepada bukan Islam malah kepada orang Islam sendiri terlebih dahulu bagi mengelakkan ramai pihak terkeliru.

“Kami menasihatkan agar pihak yang mengeluarkan kenyataan dan mempolitikkan mengenai soal hudud berhenti kerana isu ini adalah berkaitan agama yang mempunyai panduan tertentu dalam pelaksanaannya.

“Kami juga menyambut baik cadangan ini dan bersedia memberikan kerjasama tetapi sekiranya pelaksanaan ingin dilakukan, pihak terlibat perlu mengambil kira kajian dalam konteks yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, isu ini tidak boleh di ambil mudah kerana ia melibatkan hal keagamaan, dan jika tidak ditangani sewajarnya, isu ini boleh mendatangkan keburukan kepada umat Islam kelak.

“Jadi, apa yang dirisaukan oleh Jati sebagai satu pertubuhan Islam adalah, terlalu mudah isu ini diperkatakan oleh semua pelbagai pihak, sama ada umat Islam mahupun bukan Islam.

“Cadangan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat disokong dan diterima baik oleh banyak pihak namun ia perlu dilihat menerusi pelbagai aspek mengikut kehendak Syarak,” katanya.

Tiada ulasan: