Jumaat, 6 Julai 2012

Bersih: Saksi lihat muka cedera, telinga berdarah

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Khairul Anuar Pawanchik memberitahu tidak sempat memberi rawatan kepada seorang peguam yang mengalami kecederaan di muka sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Sebaliknya beliau hanya sempat memberikan dua helai sapu tangan untuk menutup luka di pipi peguam yang pada mulanya tidak diketahui namanya.

Beliau hanya mengecam wajah peguam itu selepas membaca akhbar Suara Keadilan beberapa hari selepas itu.

"Saya dengar seorang lelaki kata, 'saya peguam pemerhati'. Saya lihat mukanya berdarah tapi saya tak sempat beri apa-apa rawatan, cuma saya berikan dua helai sapu tangan untuk tutup mukanya.

"Dia berkata kepada saya, 'kenapa polis buat saya begini'," katanya sambil menunjukkan keratan akhbar yang memaparkan wajah peguam, Haijan Omar pada pendengaran awam berhubung Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.

Khairul bertindak sebagai sukarelawan PBSM dengan menyediakan air mineral dan peti kecemasan di suatu lokasi pada hari kejadian.

Beliau yang merupakan saksi ketiga juga berkata, beliau melihat seorang peserta Bersih 3.0 berbangsa Cina mengalami kecederaan di bahagian telinga, namun tidak tahu bagaimana ia terjadi.

katanya, telinga individu tersebut nampak seperti terhiris sewaktu beliau berada di suatu lokasi di Jalan Tun Perak, selepas selesai bertugas kira-kira jam 6.30 petang.

"Kecederaannya tak sama macam digunting atau terjatuh," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kecederaan itu akibat terkena kawat duri yang dipasang polis bagi menghalang peserta masuk ke Dataran Merdeka.

Sesi pendengaran awam bermula hari ini di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: