Selasa, 24 Julai 2012

Bersih 3.0: Samad Said antara 6 mohon mahu jadi pencelah kes saman

SINAR HARIAN

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang daripada sepuluh defendan dalam saman kerajaan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 ingin membatalkannya, namun enam lagi, yang merupakan anggota jawatankuasa penganjur Bersih 2.0, memohon untuk menjadi pencelah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara kemudian menetapkan 10 Ogos ini untuk mendengar permohonan Haris Fathillah Mohamed bagi membatalkan saman itu dan permohonan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Yeo Yang Poh, Hishamuddin Md Rais, Ahmad Syukri Che Razab, Subramaniam Pillay serta Liau Kok Fah untuk menjadi pencelah.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas bertemu Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili kerajaan, dan peguam R. Thipajothi bagi pihak Haris serta peguam Syahredzan Johan untuk defendan lain ketika pengurusan kes tersebut hari ini.

Azizan memberitahu pemberita Haris, yang juga seorang peguam, memfailkan permohonan itu pada 16 Julai lepas atas alasan beliau bukan penganjur Bersih 3.0 atau menganggotai jawatankuasa penganjuran Bersih 2.0, oleh itu, dia tidak boleh diminta bertanggungjawab dalam saman tersebut.

Pada 15 Mei lepas, kerajaan memfailkan saman terhadap 10 defendan bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000 sebagai kos pembaikan kenderaan polis, faedah, kos lain dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Kerajaan menamakan Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris,  K. Arumugam, S. Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan memohon satu deklarasi bahawa kesemua defendan sebagai penganjur Bersih 3.0, telah melanggar Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012, sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab, antaranya, bagi memastikan perhimpunan itu tidak akan menyebabkan kerosakan kepada harta benda awam.

Kerajaan mendakwa perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka itu bertukar menjadi tidak terkawal apabila peserta menembusi halangan polis. - Bernama

Tiada ulasan: