Jumaat, 6 Julai 2012

Bersih 3.0: Saksi trauma, rasa terhina dikasari polis

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja swasta, Baharudin Hashim berkata, beliau mengalami trauma selepas ditangkap, dipukul dan diseret beberapa meter oleh polis sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Baharudin, 52 berkata, beliau berasa malu, bodoh, dan terhina diperlakukan sedemikian menyebabkan beliau lewat membuat laporan polis berhubung insiden kekasaran itu.

Hampir seminggu selepas kejadian itu, barulah beliau berani membuat laporan polis selepas disarankan Lawyers For Liberty (LFL).

Katanya, walaupun tidak mengalami kecederaan teruk selain lebam-lebam di seluruh badan, beliau menganggap tindakan polis sebagai sangat tidak patut.

"Saya hanya menceritakan perkara ini kepada isteri saya dan tidak berniat untuk membuat laporan polis.

"Saya buat laporan polis pun selepas mendapat suntikan semangat daripada LFL, mereka yang terangkan kepada saya bahawa saya boleh buat laporan polis kerana dikasari," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Menjawab soalan panel lagi, Baharudin berkata, beliau duduk di hadapan Bangunan Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak ketika tiga orang polis menerpa ke arah beliau dan terus menangkapnya walaupun beliau terasing daripada kumpulan peserta perhimpunan.

"Saya tidak tahu kenapa saya ditangkap. saya tidak pakai baju kuning, dan saya hanya duduk diam memerhati beberapa orang polis mengejar peserta perhimpunan.

"Tiba-tiba mereka menerpa ke arah saya, mungkin sebab tak dapat orang yang dikejar, mereka tangkap saya yang ada di situ.

"Semasa diseret di leher, beberapa kali saya merayu, lepaskan saya, saya dah tua," katanya sambil menambah, beliau dilepaskan di satu persimpangan Jalan Tun Perak.

Terdahulu beliau berkata, beliau bukan peserta Bersih 3.0 sebaliknya hanya 'window shopping' di pusat membeli-belah Sogo di jalan Tunku Abdul Rahman pada hari kejadian.

Namun beliau mengakui mengetahui mengenai perhimpunan tersebut berdasarkan publisiti yang diberikan pelbagai pihak.

"Mula-mula saya berada dalam Sogo di bahagian pakaian lelaki sehinggalah saya nampak ada dua tiga orang polis seolah-olah mengejar orang.

"Atas perasaan ingin tahu, saya keluar ke hadapan Sogo dan nampak sudah ramai orang berkumpul. Tapi keadaan masih dalam keadaan aman. Ada orang menyanyi, bersorak dan mereka berarak ke Dataran Merdeka," ceritanya.

Baharudin merupakan saksi kedua yang memberikan keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Dua lagi saksi ialah seorang pekerja sosial, Kunabal a / l K. Rajagopal dan pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Khairul Anuar Pawanchik.

Pengalaman saksi bantu Suhakam

Sementara itu, Datuk Dr Khaw Lake Tee pada sidang media selepas pendengaran berkata, seramai 22 saksi tidak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipanggil memberikan keterangan yang akan berakhir awal Ogos.

Beliau berkata, walaupun baru sahaja selesai pendengaran awam berhubung Bersih 2.0, namun pihaknya tidak bermasalah untuk meneruskan pendengaran awam untuk Bersih 3.0.

"Ini memang tugas rasmi Suhakam, bila terima aduan, kita akan buka ruang untuk siasatan," katanya.

Tambah beliau lagi, kehadiran saksi-saksi yang berpengalaman dalam pelbagai bidang memudahkan proses pendengaran.

"Macam hari ini, kita ada saksi dari pegawai Bulan Sabit Merah yang merupakan bekas tentera, beliau ada memberikan beberapa cadangan yang boleh kita gunakan," katanya.

Tiada ulasan: