Khamis, 5 Julai 2012

Apabila orang Umno mahu hudud

FARUSH KHAN
FARUSH KHAN
 
 
SECARA mendadak, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, menjadi lebih terkenal daripada apa yang beliau jangkakan.

Pada masa yang sama, waktu tidurnya pasti menjadi semakin kurang akibat deringan bunyi telefon yang bertambah kerap dan program serta jemputan yang bertambah banyak.

Semuanya berlaku selepas beliau mengemukakan suatu cadangan yang ringkas, tetapi sangat sensitif, menarik dan penting, iaitu mengenai pelaksanaan hudud. Saya tidak bermaksud Ayub banyak berehat sebelum ini.

Saya bersama rakan-rakan wartawan Sinar Harian Johor bertemu beliau ketika kami menyertai konvoi ke kawasannya di daerah Segamat Julai tahun lalu, untuk program membantu masyarakat.

Beliau bukan sahaja cergas, malah rendah diri dan peramah; terkenal di Johor, apa lagi di kawasan yang beliau wakili.

Dan tiga hari lalu, isu hudud membuat namanya meletup, melangkaui sempadan negerinya sendiri.

Usaha Sinar Harian untuk menghubungi beliau sehari suntuk pun jadi rumit. Beliau mengetuai program lawatan ke Tanjung Pinang, Indonesia.

Sejak beliau menyatakan harapannya supaya Johor dapat menerajui pelaksanaan hukum hudud ‘sebenar’ yang meliputi semua kaum, cadangan beliau menarik pelbagai reaksi, positif dan negatif.

Cadangan itu sebenarnya dibangkitkan pada 20 Jun lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-12 dan sidang Dun Disember tahun lalu lagi, tetapi hanya disedari banyak pihak tiga atau empat hari yang lalu.

Menurut Ayub, cadangan pelaksanaan hukum hudud itu boleh dimulakan dengan memberikan kefahaman berhubung hukuman berkenaan kepada semua masyarakat, khususnya golongan bukan Islam.

“Dalam sidang Dun, memang saya ada cadangkan supaya Johor menerajui hukum hudud sebenar yang berbeza hukum hudud yang dinyatakan Pas. Sebab kita lihat, Pas banyak kali menggunakan hukum hudud untuk tarik sokongan.

“Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan Pas seperti Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan) tidak menggambarkan kehendak Islam (hudud) yang menyeluruh dan melibatkan semua kaum.

“Adalah penting untuk kita beri kefahaman kepada semua masyarakat terlebih dahulu menerusi seminar atau pembentangan supaya tidak timbul kekeliruan,” demikian penjelasannya kepada Sinar Harian.

Menurut Ayub, kefahaman yang betul adalah kunci utama hudud diterima semua kaum merentasi kefahaman agama ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW.

“Pelaksanaan hudud di peringkat nasional hanya akan berlaku dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Jadi atau tidak, terserah kepada ALLAH.

“Kita bukan nak takutkan orang menerusi hukum hudud, namun tidak salah sekiranya kita memberi kefahaman berhubung hukuman ini kepada umum,” katanya.

Penjelasan beliau menunjukkan Ayub tidak bercakap kosong. Beliau tentu sudah banyak membuat rujukan.

Ada yang anggap beliau membuat cadangan itu kerana kekeringan idea dan ramai lagi, saya percaya, menanti masa sesuai untuk membuat komen.

Tetapi yang menarik, barangkali Ayub sendiri tidak terbayang bahawa cadangannya itu mendapat sokongan orang Pas, lebih banyak daripada yang lain.

Mahu atau tidak, hakikatnya ialah Ayub, sedar atau tidak, mencipta sejarah sebagai orang pertama mewakili Umno membuat cadangan demikian yang menerima penghargaan daripada seteru politiknya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, yang biasanya menghentam Umno dan Barisan Nasional (BN), menyokong beliau.

“Tahniah Umno. Saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini.

“Kelantan hadapi halangan (untuk laksanakan hudud) tapi jika Johor boleh buat dahulu, silakan,”  katanya.

Bagi Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Harun Taib, Pas mahu melihat perintah ALLAH ditegakkan.

“Jangan hanya cakap kosong. Kalau mereka bersungguh-sungguh, kita pun akan bantu,” katanya.

Antara yang memberi komen daripada Umno ialah Ketua PemudaUmno Tebrau, Syahrin Jamaluddin yang tidak mahu hudud dilabel sebagai ‘hudud Umno’ atau ‘hudud Pas’, bagi mengelak kekeliruan dan salah faham.

Sehingga bila komen, puji dan kritikan akan terus diluahkan terhadap isu pelaksanaan hudud cadangan orang Umno ini, hanya masa akan menentukan dan ALLAH yang tahu.

Tetapi yang jelas, Ayub, yang dianggap berani kerana membuat cadangan yang menongkah arus itu, perlu beristiqamah dengan usaha murninya ke arah mencapai wawasan yang ditujuinya.

Tentunya ramai menunggu dan sanggup memberi sokongan serta kerjasama untuk melihat impian indahnya itu menjadi kenyataan, bukan berakhir dengan igauan.

Tiada ulasan: