Rabu, 18 Julai 2012

3 sahabat maut dalam kemalangan

SINAR HARIAN

3 sahabat maut dalam kemalangan
3 sahabat maut dalam kemalangan
 
 
SEREMBAN - Tiga sahabat maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Batu 4, Jalan Seremban-Jelebu, dekat sini malam tadi.

Mereka yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dikenal pasti sebagai Mohd Asrul Abd Rahman, 31, Muhamad Nazri Baharudin, 27, dan Mohd Shahrizal Ngah, 31.

Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada 11 malam ketika ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri (JKKP) menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Jelebu menuju ke Seremban.

Katanya sampai di satu selekoh kereta mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki seorang wanita dan dua orang anak lelakinya berusia dua dan tiga tahun.

Katanya rempuhan kuat itu menyebabkan Mohd Asrul yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter dan dua lagi rakannya tersepit di dalam kereta.

"Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Katanya mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga mangsa. - Bernama

Tiada ulasan: