Rabu, 27 Jun 2012

Teoh: Nasib 3 pegawai akan ditentukan

KL TODAY

 


Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock akan mengetahui nasib mereka tidak lama lagi apabila keputusan berhubung tindakan disiplin terhadap mereka diputuskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata beliau akan mengemukakan syor kepada jawatankuasa aduan SPRM berhubung kes itu sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil, berdasarkan cadangan daripada jawatankuasa berkenaan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kita telah memutuskan tindakan disiplin akan yang akan diambil… kita akan memaklumkan jawatankuasa aduan pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Laporan Tahunan SPRM kepada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Abu Kassim pada April lepas berkata tiga pegawai berkenaan telah diminta memberi penjelasan berhubung pertuduhan itu setelah siasatan mendapati tingkah laku mereka ketika menjalankan soal siasat terhadap Teoh, ada yang melanggar peraturan tatatertib.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Teoh, memutuskan bahawa Teoh membunuh diri akibat mengalami rasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM

Tiada ulasan: