Bukan sahaja menjadikan Datuk Seri ShahrizatJalil sebagai modal ceramah, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli kini pergi lebih jauh dengan mengumumkan penerbitan filem berkaitan Ketua Wanita Umno itu dan isu National Feedlot Corporation (NFC).

Dalam ceraman di Kampung Pasir Baru dekat ibu negara malam tadi, Rafizi dengan nada separa berjenaka mengumumkan akan menerbitkan filem khas itu kerana beliau "bosan bergaduh dengan Shahrizat yang asyik hendak menyelak kain".

"Kita dah bosan tengok Youtube ada gambar Shahrizat dan letak gambar lembu.

"Kita akan buat filem khas ada pelakon jadi Shahrizat, ada pelakon jadi suami Shahrizat Jalil, ada pelakon jadi anak-anak Shahrizat Jalil," katanya.

NFC antara isu paling berjaya dimainkan Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga pengerusi esekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga suami Shahrizat dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1960.

Shahrizat bagaimanapun disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terlibat dalam dakwaan skandal membabitkan pinjaman berjumlah RM250 juta itu.

Namun, turut menjadi sasaran ceramah PKR semalam adalah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Bekas ahli Umno Negeri Sembilan Tunku Harmy Tunku Hannan yang mendakwa mengenali Raja Nong Chik sejak mereka sama-sama aktif dalam gerakan Pemuda Umno ditampilkan dalam ceramah kali ini.

'Virus' Umno serang Nong Chik
Tunku Harmy menyifatkan Raja Nong Chik sebagai seorang yang berasal dari keluarga berada dan dihormati namun kini dirosakkan 'virus' Umno yang menjadikan ahlinya terdedah kepada budaya rasuah.

"Saya adalah timbalan presiden Kelab Usahawan Malaysia pada ketika itu dan Nong Chik Bendahari saya.

"Beliau menjalankan tugasnya dengan amanah dan beliau juga berasal dari keluarga baik-baik, keluarga yang lurus.

"... saya dengar (beliau dikaitkan) dengan projek RM30 juta untuk anak dia," kata kerabat diraja Negeri Sembilan itu.

Raja Nong Chik bagaimanapun sebelum ini menjelaskan tiada konflik kepentingan dalam isu kontrak kerajaan yang didakwa diperolehi satu syarikat milik anak perempuannya kerana ia diperolehi sewaktu beliau masih belum menjadi menteri.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula berikrar menjadikan pendedahan terbaru siasatan dakwaan rasuah pembelian kapal selam Scorpene sebagai 'rukun tambahan' ceramah Pakatan menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kalau ada satu isu (selain NFC) yang boleh jadi breakthrough untuk Pakatan menjatuhkan BN kali ini, yakinlah isu itu ialah skandal rasuah pembelian kapal selam," katanya.

Beliau turut berkesempatan melancarkan kelab peminat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang dikenali sebagai Nurul Izzah Club pada majlis ceramah itu malam tadi.