Sabtu, 30 Jun 2012

Shabery Cheek bakal MB Terengganu?

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan sedang merancang untuk melantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) sebagai Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum  nanti.

Ini kerana, beliau dianggap faktor pengimbang antara dua kem Umno yang bergaduh di Terengganu sekarang iaitu Kem Datuk Seri Idris Jusoh dan Kem Datuk Ahmad Said.

Shabery, bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan tidak memihak di dalam kedua-dua kem itu.

Selain Shabery, turut disebut adalah nama anggota Parlimen Hulu Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Namun, Harakadaily difahamkan, istana Terengganu masih mahukan Ahmad Said kekal sebagai MB.

Di pihak PAS pula, lain ceritanya. Walaupun Shabery pernah aktif di dalam PAS sebelum menyertai Umno, beliau dianggap tidak akan mengubah apa-apa di Terengganu.

Biarpun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, bagi PAS ia tidak memberi jaminan Terengganu akan lebih baik.

Selagi dasar pentadbiran Umno dan Barisan Nasional masih dipenuhi dengan rasuah, kronisme, nepotisme, sesiapapun yang menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar, ibarat dua kali dua.



Sikap PAS

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar), berkata keadaan Umno di Terengganu semakin parah dengan beberapa insiden yang mencemarkan pentadbiran menteri besar-menteri besar negeri itu.

Ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh, pelbagai penyelewengan wang rakyat dilakukannya, di samping penarikan semula wang royalti kepada negeri tersebut.

Ketika BN mengambil pentadbiran negeri dari PAS pada 2004, segala pemberian kerajaan negeri PAS sebelum itu ditarik balik seperti pemberian geran kepada rakyat.

Justeru itu, bagi Abdul Wahid, mana-mana pemimpin yang terdiri dari kalangan Umno yang dikatakan akan menggantikan Ahmad, tetap tidak boleh membaiki segala kerosakan yang sekian lama dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata tidak timbul soal siapa pengganti Ahmad Said.

Ini kerana katanya momentum rakyat di Terengganu sudah menunjukkan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat negeri itu.

Apa yang diharapkan PAS, bukanlah pengganti Ahmad Said yang dikatakan boleh membersihkan segala kekotoran di negeri tersebut, sebaliknya rakyat negeri itu memerlukan seorang menteri besar di kalangan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: