Khamis, 7 Jun 2012

PTPTN: PKR dakwa Khaled sekat pelajar Unisel

Jamilah Hamzah

PKR dakwa Khaled sekat pelajar Unisel terima PTPTN
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menyekat kemudahan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penuntut-penuntut Universiti Selangor (Unisel).

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Rafizi berkata, beliau terkejut dengan satu mesej menerusi oleh Khaled yang menyatakan 'Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan  percuama PTPTN yang dilaungkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Pakatan (Rakyat)'.

"Saya lihat Khaled seolah-olah raikan kepayahan ribuan pelajar dan amalkan politik dendam.

"Adakah beliau sendiri yang arahkan PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai mainan politik dendam Braisan Nasional (BN)-Umno?" kata beliau lagi.

Rafizi berkata, Khaled sepatutnya menjadi pemimpin yang baik untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta pada masa sekarang, bukannya bersikap kebudak-budakan yang memberi kesan kepada pelajar.

Malah kata beliau, polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar.

Mengulas lanjut isu itu, Rafizi mencabar Khaled untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan itu adalah arahannya.

"Jika benar, beliau perlu letak jawatan kerana amalkan politik dendam.

"Jika tidak beliau perlu bertanggungjawab dan pastikan tindakan zalim ini tidak berlaku lagi," katanya lagi.

Rafizi turut memuji Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang jelas lebih profesional menghadapi isu itu.

"Saya harus puji Khairy yang lebih profesional dan beliau sepatutnya dilantik menjadi Menteri Pelajaran Tinggi Malaysia yang baru," katanya yang menyertai Debat Sinar mengenai isu PTPTN bulan lalu.

Tiada ulasan: