Selasa, 26 Jun 2012

PKR dakwa projek naik taraf LRT Ampang dibuat tanpa tender terbuka

Jamilah Hamzah

PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa wujud campur tangan pihak atasan Kerajaan Pusat dalam menganugerakan projek tambahan LRT Aliran Ampang, yang bernilai RM960 juta, kepada sebuah syarikat secara terus tanpa tender terbuka, akhir tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berhubung perkara berkenaan.

Rafizi berkata, beliau merujuk laporan yang disiarkan oleh satu akhbar tempatan dan mendapat maklumat mengenai Perdana Menteri telah campur tangan dalam pengurniaan kontrak projek itu.

"Sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Rafizi mendakwa perkembangan itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana ia bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan sebelum ini.

Katanya, PKR boleh mendedahkan yang syarikat dianugerahkan bukanlah konsortium yang terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana.

"Saya betul-betul menasihatkan Najib supaya tangani isu ini dengan baik demi menjaga imej pentadbirannya," kata Rafizi.

Tiada ulasan: