Isnin, 11 Jun 2012

Peruntukan RM3.58 Juta Untuk Latihan Penyelia Dan Guru Kafa

MSTAR ONLINE

 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.58 juta untuk latihan penyelia dan guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) bagi membeli bahan-bahan peralatan bantu mengajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan itu disalurkan kepda kerajaan negeri melalui jabatan atau Majlis Agama Islam negeri-negeri.

"Bagi negeri Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, peruntukan disalurkan melalui jabatan atau Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri masing-masing manakala bagi Terengganu ia disalurkan melalui Yayasan Islam Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengenalan Kaedah Iqra kepada guru-guru Kafa negeri Terengganu dan penyerahan bantuan kerajaan persekutuan kepada kelas-kelas Kafa seluruh negara di sini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Terengganu, Khazan Che Mat.

Jamil Khir berkata, rayuan dan permohonan penyelia dan guru-guru Kafa antaranya tentang buku-buku rekod mengajar, pendedahan kaedah untuk mengajar, bantuan peralatan mengajar dan sebagainya sememangnya diambil kira kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan guru-guru Kafa.

"Jadi kita duduk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah dapat merumuskan satu pendekatan bantuan untuk menambah keberkesanan dan pendedahan kaedah-kaedah mengajar dalam kalangan guru KAFA di seluruh negara," katanya.

Katanya, mereka juga perlu didedahkan untuk mendapat peluang-peluang dan kaedah mengajar atau kursus-kursus berkaitan Kafa.

Katanya, kaedah Iqra dilihat amat berkesan sehingga peringkat prasekolah anak-anak di Terengganu yang telah menjalankan proses pendidikan itu sudah mampu membaca al-Quran.

Jamil Khir berkata, dari sudut fizikal pula bukan gaji dan bangunan tempat belajar saja yang diberi tumpuan, tetapi perkembangan kerjaya guru-guru Kafa yang berjumlah hampir 34,000 orang turut dititikberatkan. - BERNAMA

Tiada ulasan: