Isnin, 4 Jun 2012

Pak Lah: PRU13 ketika musim haji hanya spekulasi

SINAR HARIAN

Tun Abdullah Ahmad Badawi
 
 
 
KEPALA BATAS - Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan sebagai semata-mata spekulasi Pas apabila mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan ketika musim haji ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pas hanya mahu meraih sokongan daripada pengundi beragama Islam.

"Perdana Menteri belum lagi mengumumkan tarikh untuk Pilihan Raya Umum ke-13, jadi bagaimana pula mereka (Pas) boleh tahu bila tarikh pilihan raya.

"Lagipun takkan Perdana Menteri nak buat seperti yang disebut itu, beliau (Najib) orang Islam juga," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan notebook kepada pemimpin masyarakat di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjangka PRU13 akan diadakan September ini ketika musim haji bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa langkah itu dibuat berikutan ramai penyokong Pas akan mengerjakan haji pada masa itu dan Umno sebagai tunjang BN akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengelakkan isu sebenar berhubung pembersihan sistem pilihan raya sebelum proses mengundi diadakan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut hadir pada majlis itu berkata kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan seolah-olah pengundi dari Pas sahaja yang menunaikan haji.

"Orang Umno pun menunaikan haji dan bukan hanya orang Pas sahaja pergi Makkah. Jadi janganlah buat kenyataan seolah-olah kita (Umno) boleh  menang kerana buat (mengundi) masa orang menunaikan ibadat haji.

"Pas juga dilihat seperti takut dengan kekuatan BN sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya percaya ia (kenyataan itu) untuk tarik pengundi Islam membenci kerajaan," katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas. - Bernama

Tiada ulasan: