Khamis, 7 Jun 2012

MP Tony Pua diarah bayar Syabas RM200,000

NURKHAIRINI JUMARI

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua 
 
 
SHAH ALAM –  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membayar ganti rugi RM200,000 terhadap  saman fitnah yang difaikan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat, Abdul Halem Mat Som berkata, mahkamah telah memutuskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dibuat oleh Pua telah memfitnah Syabas.

“Selain tuntutan balas defendan ditolak, mahkamah juga telah memerintahkan Tony Pua dihalang daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah terhadap Syabas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Syabas memfailkan saman terhadap Pua pada 28 Januari 2011 kerana mendakwa wakil rakyat itu, yang juga Setiausaha Publisiti DAP telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Syabas selaku plaintif mendakwa, kenyataan tersebut disiarkan oleh akhbar Nanyang Siang Pau pada 16 November 2010 di bawah artikel bertajuk Tony Pua: Kerajaan Negeri Perlu Kawal Hak Pengurusan Air Bagi Memastikan Tarif Air Tidak Mengalami Kenaikan.

Menurut Syabas, penerbitan tersebut telah memperkecil-kecilkan reputasi perniagaan dan menyebabkan cemuhan awam yang membawa kerugian serta kerosakan kepada perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Syabas antaranya menuntut ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya selain perintah injunksi bagi menghalang Pua dan ejennya daripada menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah tersebut.

Tiada ulasan: