Jumaat, 1 Jun 2012

Mahkamah benar Shahrizat pinda pernyataan tuntutan

SINAR HARIAN

Shahrizat
 
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminda pernyataan tuntutan samannya terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu berikutan tiada bantahan daripada Zuraida dan Mohd Rafizi.

Shahrizat diwakili peguam Datuk Ahmad Redza Abdullah manakala Zuraida diwakili peguam Razlan Hadri dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Mohd Rafizi.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.
  
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd atau syarikat-syarikat bersekutunya.

Ketua Wanita Umno itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk 'serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif' dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.

Perbicaraan kes saman tersebut ditetap pada 6 dan 10 Ogos.- Bernama

Tiada ulasan: