Isnin, 11 Jun 2012

Kroni: Ismail Sabri seolah sindir ketua sendiri

Riduan Mohd Nor,
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengingatkan pemimpin Umno di semua peringkat supaya tidak memperjuangkan kelompok tertentu atau kroni sahaja sebaliknya berjuang untuk semua rakyat sebagai kenyataan yang melucukan.
Kenyataan beliau ibarat ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus’, beliau mahu mengajar pemimpin partinya supaya ‘berjalan lurus’  walhal beliaulah yang perlu dinasihatkan dahulu supaya ‘berjalan lurus’ sebelum beliau menasihatkan pemimpin lainnya.

Datuk Seri Ismal Sabri seperti baru menyedari sekarang bahawa Umno berjuang untuk keluarga dan kroni terdekat.

Umum mengetahui kebejatan Umno bukan berlaku sehari dua ini, tetapi sudah bertahun lamanya dan sudah berbilion ringgit duit rakyat dirompak untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

Amalan ini sudah sebati dalam diri mereka sehinggakan ramai pemimpin pemimpin Umno pelbagai peringkat dan keluarga mereka hidup kaya raya dengan hasil projek segera.

Datuk Seri Ismail sendiri boleh hitung jumlah pemimpin termasuk suku sakat dan keluarga mereka yang menikmati kekayaan hasil daripada projek kerajaan.

DPPM menganggap kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri mengesahkan lagi bahawa perjuangan Umno telah jauh tersasar dari matlamat penubuhannya yang mahu membela nasib bangsa Melayu di negara ini.

Bahkan Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengakui teruknya Umno sehingga menggambarkan Umno busuk sehingga ke ususnya.

Mungkin Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan sedemikian dengan melihat keadaan parti beliau yang sudah semakin hilang sokongan rakyat dan mungkin beliau pula akan kalah di parlimennya dalam PRU ke 13.

DPPM juga mengagak beliau seolah-olah menyindir ketuanya sendiri iaitu Presiden Umno yang dilihat terlalu banyak terpalit dengan dakwaan skandal dan rasuah serta amalan kronisme yang berlingkar sekitar beliau.

Barangkali Datuk Seri Ismail Sabri digerakkan oleh seseorang atau kumpulan tertentu untuk mengeluarkan kenyataan demikian sebagai tanda bermulanya persengketaan yang besar terhadap Presiden Umno dan sekutunya.

Bagi mereka, era Datuk Seri Naib sebagai Presiden Umno terlalu berpenyakit sehingga sukar diubati lagi dan perlu diganti dengan pemimpin lain yang dilihat lebih bersih.

Sukar bagi beliau dan pemimpin Umno lainnya membersihkan imej parti mereka dalam keadaan pemimpin tertinggi mereka terpalit dengan amalan rasuah dan kronisme yang semakin membarah.

Padahal, rakyat melihat kesemua pemimpin Umno mengamalkan politik yang sama iaitu rasuah dan kronisme yang terus menjadi sebagai sebahagian hidup mereka.

Tiada ulasan: