Jumaat, 1 Jun 2012

Kerajaan Malaysia "Jual" Rahsia ATM, Kata Peguam Perancis


 
KELAB GREENBOC


Bangkok: Kerajaan Malaysia didakwa "menjual" dokumen rahsia Tentera Laut Malaysia kepada sebuah syarikat pertahanan Perancis bersabit pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Peguam Perancis Joseph Breham yang bertindak bagi pihak pertubuhan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendedahkan bahawa syarikat Perancis itu telah membayar sejumlah 36 juta Euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, kononnya untuk urusan "kejuruteraan komersial", demikian lapor malaysiakini.

"Ia adalah dokumen rahsia oleh Tentera Laut Malaysia - satu penilaian bersabit pembelian kapal selam yang merupakan laporan sulit," kata Joseph kepada wartawan di Thailand.

Menurut Breham berdasarkan pengalaman di Perancis, tindakan "menjual" dokumen rahsia kepada negara asing dianggap sebagai pelanggaran rahsia pertahanan dan perbuatan khianat.

"Ia adalah pengkhianatan di mana anda menjual maklumat kepada pesaing atau negara asing tentang pandangan anda berkenaan senjata khusus serta pelan untuk menggunakan senjata tertentu.

"Di Perancis, jika anda melepaskan mereka (dokumen-dokumen rahsia), anda boleh dihukum penjara 10 tahun,"
kata beliau apabila ditanya tentang kesalahan undang-undang menjual laporan tersebut.

Semalam Pengarah Suaram Cynthia Gabriel mendedahkan Mohd Ibrahim Mohd Noor sebagai individu yang mempunyai kaitan rapat dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai RM7.3 bilion tahun 2002.

Malah menurutnya polis Perancis telah merampas dokumen termasuk nota yang disampaikan kepada Menteri Pertahanan Perancis bertarikh 2 Julai, 1999 yang antaranya menyebut Mohd Ibrahim dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda sebagai rujukan rangkaian politik Malaysia.

Kerajaan Malaysia pada tahun lalu telah menahan dan menghantar pulang seorang peguam Perancis, William Bourdon yang ditugaskan mengikuti kes berkenaan ke negara Perancis.

Alasan yang diberikan Menteri Dalam Negeri bahawa Bourdon telah melanggar syarat pas lawatan sosial.

Breham yang dijadualkan melawat Malaysia minggu ini masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berhubung visa kerja yang dimohon beliau.

Justeru beliau mengambil keputusan untuk menemui pihak Suaram di Bangkok.

MP fail usul tergempar isu jualan rahsia negara

Anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan memfailkan usul tergempar pada sesi Parlimen akan datang berhubung dakwaan penjualan dokumen sulit kerajaan kepada sebuah syarikat pertahanan Perancis.

Naib presiden PKR itu juga berkata, rakyat berhak menuntut penjelasan perdana menteri kerana jika benar, wujud kemungkinan bahaya besar kepada negara ini.

Menurut Nurul Izzah lagi, ia juga memungkinkan maklumat rahsia pertahanan negara yang lain turut dijual kepada ejen asing.

"Jika tidak ada respons segera, rakyat harus bersedia menerima akibat dari keselamatan dan kedaulatan negara yang tergugat," kata Nuruk Izzah.

Dokumen yang sangat sulit - penilaian Tentera Laut Malaysia terhadap kapal selam kelas Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan - didakwa telah "dibeli" oleh sebuah syarikat pertahanan Perancis.

Peguam Perancis Joseph Breham, yang mewakili NGO hak asasi manusia Suaram mendakwa, syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, kononnya untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".

Breham berkata hakim siasatan Perancis yang menyiasat kes yang difailkan terhadap syarikat pembuat kapal Perancis, DCNS, atas dakwaan rasuah, mahu tahu tujuan bayaran itu dan meminta laporan transaksi kewangan daripadanya.
-mk

Tiada ulasan: