Ahad, 10 Jun 2012

Kerajaan Galak Penubuhan Taska Di Tempat Kerja

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan penubuhan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di tempat kerja untuk kepentingan pendidikan serta perkembangan awal anak-anak melalui insentif peruntukan dan cukai.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata kementerian itu menyediakan insentif sebanyak RM200,000 bagi setiap agensi kerajaan menubuhkan taska di tempat kerja masing-masing.

Bagi syarikat korporat pula, kerajaan melalui Kementerian Kewangan memberikan insentif potongan cukai sebanyak 10 peratus setiap tahun selama 10 tahun untuk membiayai kos penubuhan taska di tempat kerja.

"Insentif ini diharap akan menjadi galakan bagi wanita untuk terus bekerja di samping memastikan anak-anak mendapat pendidikan awal yang berkualiti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ketiga Keganasan Terhadap Kanak-Kanak-Spektrum Harapan di sini, Sabtu.

Beliau berkata kementerian akan membiayai kos penubuhan Taska 1Malaysia, dahulu dikenali sebagai Taska Komuniti, sebanyak RM50,000 kepada pihak yang berminat.

"Pengusaha taska tersebut akan dibayar RM64,000 setiap tahun untuk membiayai kos operasi, dan subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 (maksimum) bagi seorang kanak-kanak juga akan diberikan kepada ibu bapa daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke RM3,000 ke bawah sebulan," katanya.

Heng juga berkata pada masa ini, terdapat 1,509 taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia manakala 2,999 lagi belum berbuat demikian.

Mengenai penderaan kanak-kanak, Heng berkata perangkaan Polis Diraja Malaysia menunjukkan kes itu semakin meningkat di negara ini setiap tahun dan sebanyak 25.4 peratus golongan ibu dikenal pasti sebagai pendera utama diikuti bapa (18.9 peratus) dan kekasih (11 peratus).

Pada 2011, kanak-kanak perempuan juga dikenal pasti sebagai mangsa dera tertinggi dengan sejumlah 2,175 kes dilaporkan manakala kanak-kanak lelaki 1,253 kes.

Persidangan dua hari itu akan memfokus kepada kepentingan mengguna pakai pelan perlindungan kanak-kanak di pusat penjagaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: