Sabtu, 9 Jun 2012

Jangan cabar kuasa Sultan, nasihat MB Kedah

ROSLINDA HASHIM

Jangan cabar kuasa Sultan, nasihat MB Kedah
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
 
ALOR SETAR - Pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 belum diwartakan dan masih di peringkat awal.

Oleh itu tegas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, pihak yang masih mempertikai pindaan itu dilihat seolah mahu mencabar kuasa Sultan yang merupakan Ketua Agama Islam Negeri Kedah, kerana setiap pindaan berkaitan isu agama Islam mendapat perkenan Tuanku.
          
“Setakat ini baru lulus pindaan belum warta lagi. Tugas saya hanya bentang usul pindaan itu di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan setelah tiada bantahan, usul diluluskan. Ia juga perlu perkenan Sultan,” katanya.
          
Bagaimana pun, Azizan enggan memanjangkan isu terbabit yang dianggapnya sudah selesai.
          
April lalu, Azizan pernah mengingatkan pihak luar supaya tidak mempertikai pindaan yang dibuat dan membezakan bidang kuasa kehakiman dengan Jabatan Mufti.
          
Menurutnya, pindaan enakmen itu dibuat ekoran sebelum ini wujud kekeliruan dalam banyak perkara menyebabkan pihaknya meminda beberapa perkara untuk disesuaikan dengan kehendak semasa.
         
“Kita sudah bincang mengenai pindaan ini sejak dua tahun lepas, bukan disebabkan atas faktor tertentu. Kita hanya pinda apa yang diluluskan oleh Dun sahaja. Ia hanya terpakai kepada orang Islam,” katanya.
          
Azizan berkata, pindaan itu tidak menyekat hak rakyat untuk bersuara kerana fatwa itu masih boleh dirujuk dan dibincang kecuali selepas ianya sudah diwartakan.
         
Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pindaan dibuat berlandaskan proses yang betul demi untuk kepentingan umat Islam pada masa akan datang.
          
“Pindaan yang dibuat tidak babitkan agama lain, pihak luar tak perlu persoal. Pandangan agama tidak wajar dipertikai, ada yang ikut dan ada tidak, sama dengan negara Islam lain, yang pandangan agama dalam sesuatu isu tidak sama,” katanya.
          
Menurutnya, pindaan enakmen itu dicadangkan oleh Jabatan Mufti Kedah melalui Penasihat Undang-Undang Negeri untuk penambahbaikan bagi sistem sedia ada selain mahu memperkasa pandangan Jawatankuasa Fatwa dan Mufti.
          
“Draf pindaan itu sudah dibentangkan kepada Sultan Kedah untuk penelitian, sebelum mendapat perkenan Tuanku untuk dipinda,” katanya.
          
Sheikh Muhamad Baderudin berkata, pandangan agama tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia berkaitan dengan hukum-hakam agama.
          
“Antara tujuan pindaan dibuat ialah supaya fatwa yang diputuskan tidak diseret ke mahkamah bagi membolehkan hukum itu ditarik balik. Kita juga mahu pandangan jawatankuasa fatwa dan mufti, yang diberi autoriti oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Kedah dihormati,” katanya.
          
Kelmarin, Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008, yang diluluskan Dun Kedah, April lalu, disifatkan tidak berperlembagaan kerana seolah menyingkirkan bidang kuasa mahkamah, selain bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa.

Tiada ulasan: