Khamis, 7 Jun 2012

Harimau Malaya jatuh ke tangga 154

SINAR HARIAN

Harimau Malaya jatuh ke tangga 154
Harimau Malaya
 
 
KUALA LUMPUR -  Keputusan kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini menyebabkan kedudukan mereka dalam peta bola sepak dunia kembali merosot.

Menurut ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hari ini menunjukkan skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal itu turun satu anak tangga untuk berada di tempat ke-154 dunia berbanding 153 bulan lepas.
  
Kedudukan itu merupakan pencapaian terburuk skuad bola sepak negara selepas menghuni kedudukan ke-148 pada Januari, 150 pada Februari, 152 pada Mac.

Menerusi kedudukan terkini, skuad Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Bangladesh (152), Palestin (153), New Caledonia (155) dan Samoa (156), yang diketahui umum kekurangan kemudahan asas bola sepak seperti padang serta peralatan sukan.
  
Di kalangan Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat kelima, di belakang Vietnam (98), Thailand (136), Filipina (149) dan Indonesia (151).
  
Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia kekal di kedudukan ke-27 daripada 46 negara.
  
Sementara itu, juara Piala Dunia 2010, Sepanyol terus mengukuhkan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,456 mata.
  
Pasukan Amerika Selatan, Uruguay, yang sebelum ini menghuni tangga ketiga merampas tempat kedua daripada Jerman selepas mengumpul 1,292 mata, berkelebihan empat mata.
  
Kedudukan ranking itu merangkumi keseluruhan 205 negara. - Bernama

Tiada ulasan: