Jumaat, 15 Jun 2012

Dua Lelaki Ditangkap KPK Bukan Pegawai Atau Penasihat Kerajaan Malaysia

MSTAR ONLINE

JAKARTA: Kedua-dua lelaki Malaysia yang ditangkap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia kerana disyaki membantu suspek kes rasuah Neneng Sri Wahyuni melarikan diri daripada buruan suruhanjaya itu sejak tahun lepas, bukan pegawai kerajaan atau penasihat kepada kerajaan Malaysia sebagaimana yang dilaporkan dengan meluas oleh media di sini.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata penjelasan itu disampaikan oleh Ketua KPK Abraham Samad dalam pertemuan dengan beliau di pejabat KPK malam Khamis.

"Beliau telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa lelaki Malaysia yang ditahan itu adalah pegawai atau penasihat kepada kerajaan di Malaysia," katanya kepada Bernama di sini selepas pertemuan itu.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata kenyataan Ketua KPK itu penting bagi menjelaskan kepada semua pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak terlibat dan tidak ada kena mengena langsung dalam kes yang sedang disiasat oleh suruhanjaya itu dan bahawa Malaysia dan Indonesia tetap mempunyai hubungan bilateral yang sangat baik.

Pada satu sidang akhbar di sini Rabu, seorang pegawai KPK mendakwa bahawa seorang daripada lelaki Malaysia itu adalah penasihat atau orang penting dalam kerajaan di Malaysia, namun hari ini (Khamis) suruhanjaya itu meralat kenyataan itu.

Pada Khamis, KPK telah menetapkan kedua-dua lelaki itu sebagai suspek dengan tuduhan mengikut Fasal 21 Undang-undang Jenayah Rasuah Indonesia, yang lebih dikenali di Indonesia dengan nama singkatan Tipikor, kerana menghalang siasatan kes rasuah.

Penetapan mereka sebagai suspek berdasarkan dua alat bukti yang cukup, namun Abraham tidak menyatakan alat bukti yang dimaksudkannya itu.

Syed Munshe Afdzaruddin yang berterima kasih kepada Abraham kerana sudi berjumpa dengan beliau malam Khamis walaupun dengan notis yang singkat, turut menghargai kerjasama KPK untuk memberi maklumat yang diperlukan oleh Kedutaan Besar Malaysia berhubung dua lelaki Malaysia itu.

Abraham menjamin untuk memberi akses konsular kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk memberi pelindungan kepada kedua-dua lelaki Malaysia itu sesuai dengan konvensyen Vienna dan Malaysia menghormati proses undang-undang dan peraturan di Indonesia.

Kedua-dua lelaki itu ditangkap oleh KPK di dua lokasi berasingan di sini Rabu, seorang daripadanya di sebuah hotel dan seorang lagi ketika sedang menuju ke penjara di mana suami Neneng sedang menjalani hukuman.

Neneng pula ditangkap di rumahnya di Pejaten, Jakarta Selatan sebaik tiba dengan sebuah teksi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini.

Timbalan Ketua KPK Bambang Widjojanto dalam sidang akhbarnya pada Rabu berkata sebelum penangkapan dibuat, KPK telah mendapat maklumat bahawa Neneng akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Selasa malam dan bermalam di Batam, Indonesia, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Jakarta dengan menaiki pesawat.

Pada Ogos tahun lepas, Muhammad Nazaruddin, iaitu bekas bendahari Parti Demokrat ditahan di Colombia dan dibawa ke sini atas dakwaan rasuah.

Pasangan suami isteri itu disyaki terbabit dalam skandal rasuah melibatkan jutaan ringgit dalam projek mengadakan Janakuasa Elektrik Tenaga Suria (PLTS) di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi antara 2008 dan Ogos 2011.

Berdasarkan siasatan polis Indonesia, Nazaruddin dipercayai melarikan diri ke Singapura, Vietnam, Kemboja dan Colombia.

Isterinya Neneng yang turut didakwa terbabit dalam skandal rasuah berprofil tinggi itu dipercayai meninggalkan anak-anaknya di Kuala Lumpur dan sering menemani suaminya berpindah dari sebuah negara ke negara lain. - BERNAMA

Tiada ulasan: