Sabtu, 9 Jun 2012

Demo di SUK: Umno malu sendiri, kata Nik Aziz

Wartawan Sinar Harian

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
 
 
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan yang dilakukan sekumpulan penyokong proUmno di pekarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kelmarin hanya akan menyebabkan riwayat Umno berakhir.

“Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka,” kata Nik Aziz yang dipetik menerusi facebooknya, semalam.

Kelmarin, seramai 400 ahli badan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi sukarelawan 'Tukar Acu Test Sepenggal' atas dasar protes terhadap projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di bawah Kerajaan Negeri yang menggunakan wang rakyat.

“Janji Pas untuk membina lebuh raya terbabit memang disambut baik, namun kami memprotes tindakan Kerajaan Negeri yang menggunakan wang rakyat untuk projek itu,” kata Pengerusi sukarelawan, Kamarudin Mohd Kasim ketika ditemui, kelmarin.

Dalam demonstrasi itu juga, mereka turut menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari yang berjanji akan menyuarakan pandangan tersebut kepada Nik Aziz untuk tindakan lanjut.

Mursyidul Am Pas itu juga mengingatkan, selepas tarian punggung, hadiah ‘najis’ di Pulau Pinang, demonstrasi kepala lembu dan sebagainya, tindakan mengadakan demonstrasi berkenaan hanya akan menjatuhkan maruah bangsa Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno.

“Saya katakan, jika Umno merasakan dengan budaya seperti ini, mereka akan mendapat sokongan, teruskanlah. Percayalah, Umno sendiri akan malu dengan perbuatan itu satu hari nanti," kata Nik Aziz.

Tiada ulasan: