Isnin, 11 Jun 2012

Calon BN Wilayah Persekutuan Dipilih Atas Faktor Boleh Menang - Muhyiddin

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Pembahagian kerusi pilihan raya bagi Barisan Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan (WP) dibuat berpaksikan kepada faktor 'boleh menang' seseorang calon, bukan mengikut parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN WP, berkata untuk itu, cara atau formula pembahagian kerusi yang digunakan sebelum ini akan dilihat semula bagi membolehkan calon yang mempunyai lebih peluang untuk menang dipertandingkan.

Beliau berkata, selain soal calon boleh menang, pembahagian kerusi antara komponen BN juga menjadi tumpuan menjelang pilihan raya memandangkan ketika ini Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan MIC tidak ada kerusi di Wilayah Persekutuan berbanding MCA, Gerakan dan Umno.

"Kita kena lihat kepada yang lebih penting iaitu BN mesti menang dan atas dasar itu, kalau kita fikir ada parti komponen memiliki calon yang dikatakan 'winnable' dan lebih mudah untuk menang jika diturunkan, maka calon itu boleh dipertaruhkan berbanding calon daripada parti yang sudah ditetapkan kerusinya sebelum ini," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen PPP WP di sini, Ahad.

Turut hadir Presiden PPP, Datuk Seri M.Kayveas, Menteri di Jabatan PerdanaMenteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi PPP WP, Datuk A.Chandrakumanan.

Muhyiddin berkata, beliau gembira dengan reaksi yang diberi ketua parti komponen BN yang terbuka menerima pendekatan baru itu dan bersedia mengagihkan semula calon di sesuatu kawasan berdasarkan formula baru tersebut.

Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian apabila secara terbuka menyatakan kesediaan beliau menyokong saranan Kayveas supaya Chandrakumanan diletakkan sebagai calon parti bagi mewakili BN dalam pilihan raya akan datang.

"Saya rasa asas itu (calon boleh menang) harus kita gunakan. Kalau Chandrakumanan, katalah kita letak di Parlimen Batu sebagai contoh dan di situ dia boleh menang, maka kenapa kita tidak beri Batu kepada PPP (sebelum ini Batu adalah di bawah Gerakan).

"Pada pandangan saya selaku Pengerusi BN yang bertanggungjawab mendapatkan kemenangan di sebanyak mungkin kerusi di Wilayah Persekutuan, pertimbangan ituharus kita ambil kira," katanya.
Katanya, perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat antara beliau, Kayveas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN, dan menurut Muhyiddin, Najib memberi isyarat positif mengenainya.

"Kami juga telah bawa perkara itu kepada pemimpin BN lain dan kami harap mereka bersikap terbuka mengenainya kerana soal pokok ialah kerjasama, persefahaman antara pemimpin dalam parti BN.
"Bagi saya, mungkin pendekatan sebegini adalah munasabah kerana yang penting ialah pengundi suka kepada calon yang dikedepankan," katanya.

Berhubung usaha memperbetulkan persepsi negatif terhadap BN dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat, Muhyiddin berkata, hanya dengan langkah proaktifseperti turun padang bertemu rakyat dan menerangkan tentang kekeliruan sesuatu isu sahaja mampu menangkis pelbagai fitnah yang dilempar pembangkang.

Beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan keyakinan kepada BN menerusi penjelasan yang tepat.
Kayveas, dalam ucapannya, mengulas taktik pembangkang yang suka menabur fitnah bagi meraih perhatian dan simpati rakyat, dan ini perlu ditangani anggota PPP.

Beliau menegaskan 70 peratus anggota parti itu yang merupakan golongan muda perlu memainkan tanggungjawab mereka dalam menangkis serangan fitnah pembangkang dan meneruskan kepercayaan rakyat terhadap BN.

"Anda mesti berfikir, beritahu rakan, keluarga, saudara lelaki, saudara perempuan, sepupu anda, bahawa apa yang dilakukan oleh pembangkang itu salah,"katanya sambil merujuk kepada maklumat, termasuk fitnah yang tersebar dengan cepat melalui Internet. - BERNAMA

Tiada ulasan: