Isnin, 11 Jun 2012

BR1M: Rakyat bukan ikan tilapia

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR,- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 tidak akan dapat 'menyucikan dosa' kerajaan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan .

Sambil menyifatkan BR1M sebagai hak rakyat, Nasrudin berkata, bantuan itu memang wajar diberikan kepada rakyat yang memerlukan tetapi bimbang ianya dijadikan umpan pilihan raya.

"Kita tak pernah mempertikai hak rakyat untuk dapatkan bantuan daripada kerajaan tapi bukan bermaksud bantuan itu boleh mencuci penyelewengan, rasuah, dosa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Lambat laun rakyat sedar juga kes-kes rasuah seperti NFC dan sebagainya dan rakyat akan sedar bagaimana kerajaan menguruskan wang negara," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada Kabinet kelmarin, supaya kerajaan memberi BR1M kedua kepada rakyat.

Nasrudin berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas membantu rakyat, bantuan seperti ini bukan sahaja diberi menjelang pilihan raya tetapi sepanjang masa.

"Yang timbul kenapa jadi gula-gula pilihan raya kerana seringkali diberi kepada rakyat menjelang musim pilihan raya. Kenapa tidak daripada awal dulu dan tidak dijadikan dasar kerajaan. Menjelang pilihan raya macam-macam diberikan," katanya.

Namun ujarnya, rakyat khususnya golongan muda yang celik maklumat tidak akan terpengaruh dengan umpan sedemikian sebaliknya tahu berfikir untuk memilih kerajaan yang terbaik pada pilihan raya umum akan datang.

"Anak-anak muda yang mendapat maklumat jelas, mereka tidak mudah untuk dipengaruhi kerana prinsip perjuangan bukan berharga RM500 untuk menentukan corak pemerintahan negara melalui pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat dapat membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya, bukan berdasarkan siapa yang boleh beri umpan kepada mereka kerana rakyat bukan ikan tilapia untuk dibuat demikian tapi rakyat manusia yang ada akal, ada agama dan boleh berfikir," katanya.-Harakahdaily

Tiada ulasan: