Jumaat, 15 Jun 2012

Arsenal turun skuad terbaik hadapi Malaysia 24 Julai

Oleh : MOHD ZULFADLI SHARIFUDIN

Arsenal turun skuad terbaik hadapi Malaysia 24 Julai
KELAB gergasi England, Arsenal menjanjikan skuad terbaik pada pertemuan menentang pasukan kebangsaan sempena jelajah pramusim mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Julai ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi Arsenal, Mark Gonella yang membayangkan bintang-bintang utama The Gunners seperti Robin Van Persie, Theo Walcott, Mikel Arteta dan pemain yang baru ditandatangani, Lukas Podolski dijangka beraksi menentang Harimau Malaya.

Malah, Gonella menyifatkan Arsenal begitu teruja untuk kembali beraksi menentang skuad kendalian Datuk K. Rajagobal, buat kali kedua, selepas kali terakhir The Gunners menewaskan Malaysia 4-0, Julai lalu di Stadium Bukit Jalil.

Beliau percaya dengan para penyokong setia The Gunners mampu memenuhi stadium menjelang perlawanan nanti.

"Suasana penyokong-penyokong setia The Gunners di sini begitu menakjubkan. Kami sangat berbesar hati kerana dapat beraksi kali kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil dan saya yakin perlawanan kali ini begitu mendebarkan.

"Arsenal akan menurunkan pemain-pemain utama antaranya Robin Van Persie, Mikel Arteta, Tomas Rosicky dan pemain baru, Lukas Podolski serta lain-lain.

"Saya percaya mereka mahu beraksi di hadapan penyokong-penyokong setia The Gunners di negara ini sebagai balasan untuk membalas budi mereka kerana sentiasa memberikan sokongan kepada kelab ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran penjualan tiket Arsenal menentang Pilihan Malaysia di Jalan Telawi 2, Bangsar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julian Kam menjangkakan kehadiran penyokong akan meningkat berbanding tahun lalu.

"Kami menjangkakan kehadiran jumlah penyokong-penyokong akan meningkat berbanding tahun lalu, 65,000 orang," jelasnya.

Sidang media tadi turut dihadiri Naib Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masing-masing Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Azzuddin Ahmad.

Tiket-tiket akan dijual di kedai barangan sukan Nike yang terpilih mulai 15 Jun sehingga 21 Jun ini, pada harga RM58, RM68, RM108 dan RM388.

Tiada ulasan: