Ahad, 10 Jun 2012

Anwar: PTPTN silap, cetus kemarahan rakyat

Nurul Aini Mohamed Ali

Anwar: PTPTN silap, cetus kemarahan rakyat
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melakukan kesilapan besar apabila membekukan sementara kemudahan pinjaman kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis).

"Cubaan dilakukan PTPTN ini jelas menaikkan kemarahan rakyat," kata beliau ketika ditemui selepas sesi dialog Agenda Ekonomi Malaysia di sini, petang ini.

Semalam, PTPTN mengesahkan pembekuan kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut Unisel dan Kuis ditarik atas alasan kurang kemampuan kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan pendidikan percuma.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemudahan PTPTN yang disekat terhadap Unisel telah ditarik balik ekoran ketidakmampuan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi pendidikan percuma di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) itu.

Anwar yang juga Ketua Umum PR berkata, PTPTN tidak sepatutnya membuat cubaan berbaur ugutan ke atas pelajar kerana perbuatan sedemikian jelas tidak wajar.

"Namun begitu, saya menerima baik penarikan semula pembekuan pinjaman kepada para pelajar. Keputusan PTPTN ini memang tepat," tambah beliau.

Katanya lagi, dasar PTPTN harus jelas dan telus tanpa boleh disalahgunakan demi  mendapat kepercayaan orang ramai.

Beliau juga sekali lagi menegaskan yang Pakatan Rakyat (PR) mampu memberi kemudahan pendidikan secara percuma kepada rakyat jika ditakdirkan memerintah negara kelak.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri Selangor dan pemimpin-pemimpin PR mendakwa tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut-penuntut Unisel sebagai tidak adil.

Keputusan membatalkan pembekuan itu dimaklumkan kepada pengurusan Unisel pagi semalam.

Anwar ditemui selepas sesi dialog Ekonomi Malaysia bersama persatuan syarikat-syarikat perdagangan dan perindustrian Selangor.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Presiden PKR dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Majlis dihadiri 1,000 jemputan terdiri daripada ahli Persatuan Syarikat-syarikat Perdagangan dan Perindustrian Selangor

Tiada ulasan: