Selasa, 26 Jun 2012

Ahmad Phesal Datuk Bandar KL baru

HIDAYAH HAIROM

Ahmad Phesal Datuk Bandar KL baru
Datuk Ahmad Phesal Talib
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Julai ini.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad Ismail yang tamat tempoh kontraknya pada 15 Julai.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara tersebut, yang mana Ahmad Phesal akan menggantikan Ahmad Fuad.

Menurutnya, pelantikan Ahmad Phesal sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-10 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut  Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Ahmad Phesal telah berkhidmat  selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam, mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pentadbiran, pembangunan dan perancangan wilayah serta pengurusan kerajaan tempatan sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada 2007.

“Semasa memegang jawatan Ketua Setiausaha kementerian, beliau terlibat secara langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur seperti Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley, River of Life serta program-program pembangunan lain di  ibu kota; dan ini akan memudahkan beliau menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur kelak," katanya.

Tiada ulasan: