Sabtu, 9 Jun 2012

5 anggota polis, 6 mat rempit ditahan

Hasniza Hussain

KLANG – Lima anggota polis dan enam mat rempit ditahan berkaitan kecederaan seorang polis trafik dalam operasi membanteras lumba haram baru-baru ini.

Mangsa, Koperal Mustaghni Tabri, 48, kini kritikal selepas dikatakan dirempuh dan dilibas dengan topi keledar ketika operasi mencegah lumba haram di sekitar Klang, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mereka yang ditahan itu terdiri tiga anggota berpangkat koperal, seorang sarjan dan seorang sarjan mejar ditahan awal pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Beliau berkata, kelima-lima mereka berumur antara 45 hingga 51 tahun itu berada dalam operasi mencegah lumba haram yang disertai Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini akibat kecederaan parah dalam kejadian tersebut.

"Siasatan mendapati Koperal Mustaghni dicederakan bukan akibat langsung terkena pukulan helmet tetapi terkena lontaran satu objek yang dipercayai dilakukan seorang koperal lain dalam pasukan polis yang menjalankan operasi pada malam tersebut.

"Kita telah menjumpai beberapa objek dan sedang menunggu keputusan laporan forensik untuk menentukan mana satu objek yang menjadi suspek," kata Tun Hisan pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai objek-objek yang dijumpai itu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu,  Mustaghni yang sedang menjalankan operasi mencegah lumba haram dipercayai dirempuh serta dilibas dengan topi keledar oleh pembonceng sebuah motosikal menyebabkan beliau cedera di belakang kepala akibat hentakan kuat.

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata polis turut menahan enam Mat rempit Rabu lepas (6 Jun) berumur dalam lingkungan 16 hingga 22 tahun berhubung kejadian itu, lima daripada mereka terdiri pelajar sekolah sekitar Klang dan seorang penganggur.

"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai dan suspek munasabah yang kita lihat," katanya dan menambah bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tun Hisan berkata kertas siasatan berhubung kejadian ini akan dapat diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Isnin depan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata, tahun ini sahaja terdapat dua kejadian anggota polis dicederakan oleh mat rempit termasuk kes Mustaghni.

Tiada ulasan: